KIULU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau merasmikan Perkhemahan Vigorous Camp II: Wilderness Warriors yang berlangsung di Pusat Kokurikulum Negeri Sabah, Kem Malangang, di sini hari ini.
Perkhemahan selama empat hari bermula 13 hingga 16 September 2024 menyaksikan penglibatan hampir 100 peserta dari enam daerah termasuk Kiulu, Ranau, Kudat, dan Kota Belud.
Program anjuran Adventist Youth Malangang ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara belia dari pelbagai daerah selain memupuk disiplin dan memperkukuh aspek kerohanian dalam kalangan peserta.
Dalam ucapannya, Madius menekankan aspek kepimpinan perlu diterapkan sejak pada usia muda.
Dengan mengambil beberapa contoh tokoh dalam alkitab, beliau turut menggalakkan setiap peserta untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti kerohanian dan jasmani serta menghindari gaya hidup tidak sihat.
Sepanjang tempoh perkhemahan tersebut, peserta menjalani pelbagai aktiviti luar yang direka khusus untuk memperkukuh semangat kerjasama dan meningkatkan kemahiran kepimpinan.
Aktiviti-aktiviti tersebut termasuk cabaran fizikal, latihan kemahiran hidup dan sesi-sesi kerohanian.
Acara ini menerima sambutan yang menggalakkan daripada para peserta yang menganggap ia sebagai satu platform berkesan untuk membina semangat kerjasama dan meningkatkan keupayaan diri dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ