MADIUS : TUMPU PEMBANGUNAN SABAH

KOTA KINABALU: Semua pihak di negeri ini diminta untuk memberi tumpuan terhadap aspek pembangunan Sabah dan menghentikan pertelingkahan politik yang berpanjangan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, kemelut politik jika berterusan akan membantutkan ekonomi Sabah sekali gus menyebabkan agenda pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan.

“Seperti yang kita sedia maklum, kabinet persekutuan telah pun dibentuk kelmarin dan majlis angkat sumpah akan (telah) berlangsung hari ini. Dan bagi pihak kerajaan negeri, kita sudah menyatakan pendirian sebelum ini untuk berkejasama rapat dengan kerajaan persekutuan untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Jadi cukup-cukuplah cerita politik, masa ini adalah masa untuk kita tumpukan kepada pembangunan, tumpukan kepada usaha-usaha memberikan perkhidmatan untuk rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Madius, antara yang perlu dititikberatkan termasuklah penyelesaian terhadap isu berkaitan dengan peluang pekerjaan yang menjadi kerisauan bukan sahaja dalam kalangan generasi muda tetapi juga dalam kalangan lepasan graduan yang terus meningkat setiap tahun.

Katanya, kesemua menteri yang dilantik tidak kira di Sabah atau Persekutuan wajar memikirkan perkara ini kerana ia perkara serius yang perlu ditangani apatah lagi isu pekerjaan ini juga berkait rapat dengan usaha membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dan membasmi kadar kemiskinan tegar di negeri ini.

“Saya melihat antara cadangan penyelesaian yang berkesan adalah dengan menarik kemasukan pelabur ke negeri ini yang sudah pasti bukan sahaja membuka banyak peluang pekerjaan malah sekali gus merancakkan lagi pembangunan ekonomi tempatan.

“Namun sebaliknya sekiranya perbalahan politik berterusan, ia bukan sahaja tidak dapat mengatasi masalah-masalah yang dihadapi tetapi yang jauh merungsingkan adalah keadaan ekonomi negara mahupun negeri akan mengalami krisis yang lebih besar. Negara akan mundur, rakyat akan merana,” tegas Madius.

Dalam kenyataan yang sama, Madius yang juga Ahli Parlimen P170 Tuaran turut mengucapkan tahniah kepada semua barisan menteri kabinet persekutuan yang telah dilantik termasuk dua menteri penuh dan empat timbalan menteri dari Sabah.

“Marilah kita bersama-sama membangunkan negeri Sabah, negeri yang kaya dengan sumber alam, dinsipirasikan oleh kepelbagaian budaya, bangsa dan agama namun kekal sebagai sebuah masyarakat majmuk yang hidup aman dan harmoni,” katanya.