Mahkamah tetap tarikh prosiding inkues kematian Adib bermula 11 feb

[ad_1]

SHAH ALAM, 18 Jan (Bernama) — Mahkamah Koroner di sini hari ini menetapkan 11 Feb hingga 12 April ini sebagai tarikh prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner, menetapkan tarikh tersebut ketika pengurusan kes hari ini.

Beliau menetapkan 11 Feb hingga 28 Feb; 1, 4 dan 5 Mac; 19 Mac hingga 29 Mac dan 1 April hingga 12 April sebagai tarikh prosiding inkues itu.

Pegawai pengendali inkues berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah memberitahu mahkamah bahawa seramai 30 saksi termasuk enam doktor dan pakar forensik akan dipanggil memberi keterangan pada prosiding itu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, Peguam Negara selaku Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah mengarahkan Majistret membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Beliau berkata dalam prosiding inkues itu, Majistret mempunyai kuasa yang luas di bawah Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian.

Ini, katanya, termasuk mempertimbangkan bagaimana Muhammad Adib menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan orang lain.

— BERNAMA



[ad_2]