KOTA KINABALU: Seorang lelaki diberkas selepas memaki anggota polis yang menahan kenderaannya dalam sekatan jalan raya Op Covid-19, di Batu 7, Jalan Tuaran, di sini, petang semalam.
Lelaki berusia 33 tahun itu juga bukan setakat memaki, malah turut tidak memilik lesen memandu serta keluar sesuka hati sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, suspek yang memandu kereta jenis Iswara Aeroback bersama seorang rakannya dalam perjalanan dari arah Manggatal menuju ke Kota Kinabalu.
Setiba di sekatan jalan raya di Batu 7, berhampiran sebuah pasar raya, kereta dipandunya ditahan anggota polis yang tujuan pemeriksaan Op Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika diperiksa, pemandu itu tidak memiliki lesen memandu menyebabkan anggota bertugas mengeluarkan saman.
“Suspek (pemandu) keluar dari kereta dan mempertikaikan tindakan polis dengan suara yang tinggi dan anggota polis dengan baik kemudian menerangkan kesalahan yang dilakukan.
“Tetapi suspek tidak dapat terima kenyataan. Suspek mula marah-marah apabila polis meminta rakannya keluar daripada kereta kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, selepas itu suspek berang lalu meluru ke anggota polis dan memarahi dengan kata-kata kesat.
“Suspek turut bertindak agresif apabila menumbuk bonet keretanya dengan kuat.
“Bagi mengawal keadaan anggota polis bertindak menahan suspek terbabit dan merampas kereta dipandunya,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas pejawat awam./BERITA SABAH

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK