Malaysia berada dalam gelombang varian Omicron sepenuhnya

KOTA KINABALU, 7 Feb – Kementerian Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan semalam bahawa Malaysia secara rasmi berada sepenuhnya dalam gelombang baharu COVID-19 yang dicetuskan varian Omicron.

Menurutnya, jumlah kes harian tersebut dijangka akan terus melonjak dan mencecah 15,000 tidak lama lagi dan menyarankan orang ramai terutamanya warga emas untuk menerima suntikan dos penggalak (booster).

“Kita sudah sepenuhnya dalam gelombang Omicron. Kes akan mencecah 15,000 tidak lama lagi.

“Masih ada satu juta warga emas yang tiada dos penggalak. Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat booster dengan segera,” katanya melalui Twitter, semalam.

Kenyataan ini dihubungkaitkan dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menjangkakan bahawa kes positif COVID-19 akan meningkat sehingga 22-ribu kes pada hujung bulan mac ini.

Baru-baru ini, kes positif baharu bagi negara Malaysia dilaporkan sebanyak 10,089 kes pada semalam.

Dalam jumlah tersebut, 10,012 kes (99.24%) melibatkan pesakit terdiri Kategori 1 dan 2 iaitu bergejala ringan, manakala sebanyak 77 kes (0.76%) adalah dalam kategori 3 (Jangkitan Paru-paru) , kategori 4 (Jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan Kategori 5 (Kritikal,organ rosak dan perlukan ventilator).