Saya sertai UPKO sebab kepimpinan faham situasi rakyat tempatan: Unbon

Oleh: Cyn J.

KOTA MARUDU: Seorang Ahli Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang baru memasuki parti itu minggu lalu menyifatkan UPKO sebagai parti bersifat tempatan yang memahami situasi rakyat di Sabah.

Menurut Unbon Adek, 63, beliau tertarik dengan hala tuju UPKO yang bersifat inklusif dan berbilang kaum serta memperjuangkan nasib rakyat pelbagai peringkat di negeri ini.

“Saya memilih parti ini kerana mempunyai pemimpin yang faham dengan situasi rakyat.

“Saya ikut UPKO bukan sebab dipaksa melainkan mengikut kehendak sendiri,” katanya.

Unbon berkata demikian dalam Program Lawatan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ke Pejabat UPKO Kota Marudu, Khamis lepas.

Beliau merupakan antara 20 ahli baru yang menyampaikan borang kemasukan parti.

Menurut Unbon, beberapa rakan-rakan lain akan menyusul mendaftar sebagai ahli selepas ini.

“Borang keahlian baru sahaja saya terima, jadi saya akan bawa lagi rakan-rakan saya untuk mengisi keahlian tersebut.

“Sebenarnya, masih ramai lagi rakan-rakan saya yang ingin mengisi keahlian namun saya belum sempat memberi borang tersebut kepada mereka,” katanya lagi.