Malaysia, Yayasan Qatar bincang isu kepentingan bersama

[ad_1]

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) — Malaysia dan Yayasan Qatar bagi Pembangunan Pendidikan, Sains dan Komuniti (QF) dan Pendidikan Yang Penting (EAA) membincangkan isu kepentingan bersama khususnya pendidikan, kesihatan dan masalah pelarian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya pertemuan beliau dan Pengerusi QF dan EAA, Sheikha Moza Nasser selama 40 minit di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini turut membincangkan usaha untuk meningkatkan hubungan dua hala.

Sheikha Moza, yang juga permaisuri kepada Sheikh Hamad Khalifa Al Thani, bekas Emir Qatar, tiba di Malaysia pada Ahad bagi lawatan khas empat hari ke Malaysia sehingga 1 Mei.

“Kita menyambut baik kunjungan ini kerana hubungan Malaysia dan Qatar adalah akrab dan ini akan tingkat lagi hubungan kedua-dua negara. Kita membincangkan bagaimana untuk meringankan dan menangani masalah pelarian, pendidikan dan juga kesihatan,” kata Dr Wan Azizah kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata Sheikha Moza tertarik dengan kajian dan penyelidikan genom oleh Profesor Datuk Dr A. Rahman A. Jamal dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pengkhususan kepada kanak-kanak autisme yang diketengahkan.

Sheikha Moza tiba di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat pada pukul 11.40 pagi untuk perbincangan dua hala. Ketibaannya disambut Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dan timbalannya Hannah Yeoh.

EAA diasaskan pada 2012 oleh Sheikha Moza untuk membina satu pergerakan global yang menyumbang kepada pembangunan kemanusiaan, sosial dan ekonomi menerusi penyediaan pendidikan berkualiti, manakala QF adalah pertubuhan tidak mengaut keuntungan yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan, penyelidikan dan komuniti sejak 1995.

— BERNAMA

[ad_2]