Mana cukup kalau kena bayar tunai RM500 saja, kata pakar

Pakar ekonomi dan sosiologi mengkritik keputusan terbaru kerajaan untuk memberi bayaran tunai sekali gus sebanyak RM500 kepada golongan miskin dengan berkata, golongan itu memerlukan sokongan jangka panjang yang lebih mantap.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, pakar ekonomi Madeline Berma berkata, jumlah itu tidak akan memberi kelegaan kepada golongan B40, kerana ia hanya mampu menampung hidup mereka buat seketika waktu.

“Pemberian wang tunai bagus dalam tempoh sekatan, tetapi apa yang kita perlukan adalah agar kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan bagi kumpulan B40,” kata beliau.

Berma berkata, kerajaan harus fokus kepada mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan kecil untuk berkembang dengan mewujudkan pekerjaan penyumberan luar.

Beliau menyeru agar projek-projek mega dan infrastruktur luar bandar dihidupkan semula kerana ini dapat menghasilkan pekerjaan yang boleh disumberkan kepada pihak luar.

Pakar sosiologi Denison Jayasooria daripada Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, langkah-langkah bantuan sepatutnya disasarkan bagi membina kemandirian dan ketahanan diri.

Beliau tidak pernah menyokong pemberian wang tunai kepada golongan rentan, kata beliau.

“Jauh lebih baik (kita) mengatasi isu-isu tunjang seperti gaji rendah, dengan meningkatkan gaji minimun, menyokong golongan B40 dengan program perlindungan sosial yang lebih baik, memberi akses kepada perumahan awam dan memberi ruang bagi perniagaan mikro,” kata beliau.

Tambah beliau, perlu ada lebih ramai pekerja sosial menyantuni golongan miskin bandar dan komuniti jalanan supaya mereka dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Jayasooria mengkritik apa yang disifatkan beliau sebagai kecenderungan untuk terlalu fokus kepada perniagaan besar dan pelaburan asing, sambil mendakwa, ini membunuh ekonomi tempatan berasaskan komuniti.

“Lebih banyak ruang di peringkat akar umbi bagi aktiviti perniagaan adalah kunci untuk menerapkan pendekatan multi-dimensi yang lebih kukuh bagi membasmi kemiskinan, terutamanya di kawasan bandar,” kata beliau.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan bantuan tunai RM1.2 bilion untuk kira-kira 2.4 juta rakyat berusia antara 21 dan 60 tahun yang kehilangan pendapatan, sebagai sebahagian daripada inisiatif Pemerkasa.

Ini termasuk pembayaran RM500 sekali gus bagi golongan B40 dan pembayaran serupa buat penerima Bantuan Prihatin Rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *