Sekumpulan anak Sabah bantu peniaga promosi hasil seni tempatan

Kesedaran tinggi terhadap nilai aksesori kraftangan berasaskan manik yang bermotifkan budaya masyarakat Sabah sejak turun-temurun.

Itu membuatkan sekumpulan anak Sabah mengambil langkah progresif untuk membantu peniaga mempromosikan hasil seni mereka menerusi aplikasi media sosial dan pasaran atas talian.

Jika sebelum ini, kumpulan peniaga terbabit yang kebiasaannya memperagakan semua hasil ciptaan mereka di jejambat Segama mendapat sambutan terutamanya pelancong asing yang datang ke negeri ini.

Namun, mereka kini hanya berharap kepada masyarakat tempatan untuk membeli produk mereka yang mana jumlah permintaannya amat rendah berbanding sebelumnya.

Selain masyarakat tempatan mampu menghasilkan sendiri, permintaan terhadap produk ini juga hanya ‘wujud’ sekitar bulan Mei iaitu pada perayaan Pesta Kaamatan.

Ketua kumpulan Anak Sabah, Agustavia Joe Guasi berkata, menyedari masalah dihadapi kumpulan peniaga ini, kumpulan terbabit mengambil langkah proaktif bagi membantu mereka.

Katanya, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta ketiadaan pelancong dalam dan luar negara juga menyebabkan penurunan hampir 80 peratus hasil jualan.

“Selain itu, perniagaan mereka juga terpaksa ditutup ekoran beberapa acara dan aktiviti perayaan yang kebiasaannya menjadi medan untuk mempromosikan produk tidak dibenarkan diadakan.

“Inilah antara cabaran peniaga kecil-kecilan di kawasan ini. Maka tercetuslah idea untuk membantu golongan ini agar perniagaan mereka mampu diteruskan dan berkembang sesuai dengan norma baharu dan era digital sekarang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Agustavia berkata, kumpulannya mengambil langkah awal dengan mempromosikan aksesori manik itu menerusi platform media sosial seperti facebook.

Katanya, ia menjadi akses eksklusif untuk pengemar koleksi, perkhidmatan serta mewujudkan tawaran secara peniaga dan pelanggan secara terus.

“Antara aktiviti lain yang dilakukan adalah membantu mereka mempelajari teknik jualan di laman atas talian seperti Shopee, Lazada, ‘marketplace’ facebook dan sebagainya.

“Pada masa sama, kita membantu menghasilkan poster yang mampu menarik minat orang ramai untuk mengenali produk mereka serta pemborong tetap untuk melancarkan aktiviti perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Agustavia berkata, untuk langkah pertama, kumpulannya menumpukan kraftangan ‘Manik Pinakol’ yang merujuk kepada hiasan gubahan manik pada pakaian masyarakat Rungus di daerah Kudat.

Katanya, Pinakol adalah objek budaya yang bermakna dalam kehidupan dan menjadi warisan pusaka masyarakat Rungus yang mesti diturunkan kepada anak-anak perempuan.

“Pinakol terdiri daripada sepasang aksesori jenis selempang yang diperbuat daripada manik leper. Pinakol biasanya dipakai secara melintang pada dada hingga ke belakang bagi kegunaan hiasan umum.

“Selain itu, pinakol juga sering diperagakan pada majlis perkahwinan. Warna yang digunakan dan reka bentuknya dapat membezakan masyarakat Rungus dengan etnik lain di Sabah dengan mudah.

“Lambang dan identiti etnik Rungus secara tidak langsung dipaparkan pada motif atau reka corak melalui barangan kraf tangan mahupun pakaian.

Hal ini memberi gambaran bahawa terdapat penceritaan disebalik sesuatu motif yang dihasilkan,” katanya.

Agustavia berkata, masyarakat Rungus di Sabah mempunyai lambang warisan budaya tersendiri dan ia dapat dilihat dengan kepelbagaian adat serta budaya yang unik dan mempesonakan. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *