MANTAN KETUA BAHAGIAN PBS MEMBAKUT MASUK UPKO

MEMBAKUT: Mantan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Membakut, Henry Jumah menyertai UPKO, di sini, hari ini.

Henry yang pernah menerajui PBS Membakut selama dua penggal dari 1997 sehingga 2004 menyerah borang menyertai UPKO kepada presiden parti itu sendiri, Datuk Wilfred Madius Tangau.

“Saya membuat keputusan kembali aktif tetapi melalui UPKO kerana parti ini adalah sebahagian daripada Kerajaan,” katanya.

Katanya, selepas tujuh tahun menjadi Ketua Bahagian PBS di Membakut, beliau memutuskan untuk tidak lagi bertanding bagi penggal-penggal seterusnya kerana meragui keberkesanan kepimpinan PBS.

Tambah beliau, ramai lagi ahli PBS termasuk kesemua 33 ketua-ketua cawangan akan mengikuti jejak beliau dalam masa terdekat.

Sementara itu, Madius berkata kemasukan Henry menandakan satu lagi sokongan hebat kepada perjuangan UPKO dan Kerajaan.

Katanya, peluang calon Kerajaan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis kini juga semakin cerah malam ini selepas enam hari berkempen.

“Sokongan kepada calon kita, Datuk Karim Bujang semakin bertambah…Terima kasih semua,” katanya.

Sementara itu, Madius turut berterima kasih kepada jentera UPKO dalam PRK Kimanis yang diketuai oleh Nelson W Angang, Setiausaha Agung parti dengan gandingan Ketua Bahagian UPKO Kimanis Lawrence Odong yang sudah melakukan sehabis baik sehingga kini.

Semua Majlis Tertinggi UPKO terutama wakil rakyat telah berkampung di Kimanis sejak hari penamaan calon, Sabtu lalu.

Mereka termasuk naib-naib presiden Datuk Ewon Benedick, Datuk Dr Lucas Umbul, Datuk Limus Jury, Datuk Abidin Madingkir dan ahli Majlis Tertinggi Datuk James Ratib, serta Ketua Wanita Datin Dr Juliana Jani, Ketua Pemuda Felix Joseph Saang dan exco Komulakan.

Ketua Bahagian UPKO yang berhampiran juga hadir seperti Datuk Gilbert Syam (Papar), Datuk Wong Thien Fook (Sepanggar), Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu (Keningau), serta Ketua Penerangan Albert Bingkasan dan Setiausaha Penganjur Monih Epin.