MARDI perkenal inovasi keropok empat segi

[ad_1]

Pegawai Penyelidik Kanan MARDI, Nor Salsiah Mohamed berkata pengubahsuaian formulasi dan penggunaan bekas acuan keropok kepada bentuk empat segi yang lebih seragam itu dapat mengurangkan kos pembungkusan, menjimatkan ruang penyusunan dan menjadikan penampilan produk lebih menarik. Foto: Azidah Zamli
SERDANG, 30 Nov (Bernama) — Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) hari ini memperkenalkan produk inovasi keropok keping empat segi yang memudahkan pembungkusan produk untuk tujuan eksport.

 

Pegawai Penyelidik Kanan MARDI, Nor Salsiah Mohamed berkata pengubahsuaian formulasi dan penggunaan bekas acuan keropok kepada bentuk empat segi yang lebih seragam itu dapat mengurangkan kos pembungkusan, menjimatkan ruang penyusunan dan menjadikan penampilan produk lebih menarik.

“Keropok ikan yang berbentuk melengkung, terlalu besar dan tidak seragam menyebabkannya mudah patah dan sukar dibungkus.

“Menerusi inovasi ini, isipadu keropok yang dapat diisi dalam satu pembungkus juga jadi lebih banyak, daripada 400 gram kepada 500 gram, ” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran dan Sesi Uji Rasa produk berkenaan di sini, hari ini.

Majlis itu diadakan bersempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dari 22 Nov hingga 2 Dis ini.

Turut dilancarkan adalah inovasi keropok lekor cendawan yang menggabungkan keropok lekor dengan hirisan cendawan dalam menambah variasi produk ikan di pasaran.

Nor Salsiah berkata keropok lekor itu lebih berkhasiat dengan kandungan serat membantu penghadaman, Beta-Glucan boleh menurunkan kolesterol dan asid lemak tidak tepu yang baik untuk fungsi kognitif minda serta mengurangkan risiko sakit jantung.

“Campuran cendawan dalam keropok lekor ini diharap dapat menggalakkan kanak-kanak makan sayur dan dapat menggantikan sosej dalam menu harian mereka memandangkan ia lebih berkhasiat, ” katanya.

Justeru, beliau berkata MARDI mengalu-alukan dan bersedia untuk bekerjasama dengan usahawan tempatan bagi memasarkan produk baharu itu di dalam dan luar negara.

— BERNAMA

[ad_2]