MARITIM MALAYSIA LANCAR OP BERSEPADU DENGAN AGENSI PENGUATKUASAAN LAIN DI LAUT

Dokumen keterangan diri Individu yang menaiki bot penumpang diperiksa semasa operasi

Oleh Kahar Ali

SANDAKAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan telah melancarkan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia (KASTAM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Agensi Anti Dadah Kebangsaan Malaysia (AADK), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) selama dua hari, di sini.

Timbalan Pengarah Operasi ZM Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, operasi pada 8 hingga 9 Oktober ini melibatkan sebuah kapal dan enam buah bot laju daripada Maritim Malaysia manakala sebuah lagi bot milik PDRM dengan kekuatan anggota penguatkuasa seramai 84 orang keseluruhannya.

“Sepanjang operasi dua hari ini kami telah memeriksa 93 bot nelayan tempatan, 3 bot penumpang, 2 bot kumpit dan sebuah bot tunda. Seramai 241 orang lelaki dan perempuan telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut sebanyak 17 tangkapan telah dibuat. Dua kesalahan melanggar syarat sah lesen bot manakala 15 lagi terdiri daripada lelaki berumur 15 hingga 45 tahun disyaki positif dadah,” katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan telah diserahkan kepada JPDS dan AADK untuk tindakan selanjutnya.

Tambahnya lagi, operasi bersama ini akan terus dilaksanakan dari masa ke semasa bagi meningkatkan kerjasama dan kesefahaman diantara semua agensi penguatkuasaan yang terlibat.