MARITIM MALAYSIA TAWAU GAGALKAN CUBAAN SELUDUP KELUAR MINYAK PETROL DAN BAJA KE FILIPINA

Pam bot yang membawa muatan petro dan baja yang ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau semalam

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU : Seorang juragan tempatan dan dua penumpang warga asing sebuah pam bot berjaya ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63 oleh Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau berhampiran Sungai Kinabutan Kecil.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri bin Hussin berkata, bot ronda Zon Maritim Tawau yang menjalankan rondaan dan pemeriksaan rutin sekitar kawasan tanggungjawab telah menahan sebuah pam bot dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 9.30 petang semalam. Didapati pam bot berkenaan dipercayai menuju ke sempadan Filipina dari jeti Kinabutan Kecil.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang juragan warganegara tempatan dan dua awak-awak lelaki warganegara asing masing-masing berumur dalam lingkungan 32 hingga 49 tahun mengikut keterangan lisan yang diperolehi. Ketiga-tiga yang diperiksa turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati pam bot tersebut turut membawa 25 tong jerry can berisi petrol dan 38 karung baja berisi baja jenis Ammonium Nitrate yang disyaki hendak diseludup ke Filipina,” kata Mohd Yusri.

Barang-barang dan pam bot yang ditahan diiring masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran membawa muatan-muatan tersebut.

Manakala dua awak-awak warganegara asing disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigtesen 1959/63. Malahan, juragan juga disyaki memiliki bahan-bahan membuat bom ikan, oleh itu, siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Maritim (USJM) Zon Maritim Tawau. Nilai keseluruhan rampasan termasuk pam bot dianggarkan lebih kurang RM12,000, tambahnya.

Menurut beliau lagi, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat, aman dan terkawal. Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *