MASIH DITAHAP MEMBIMBANGKAN…Sabah catat peningkatan 14.6 peratus penyalahgunaan dadah

Norazlinah (duduk tengah) dan Christina bersama para tetamu khas dan para peserta program Sambutan Minggu Antidadah Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah 2019

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Masalah penyalahgunaan dadah bukanlah satu perkara baru, malah ia telah wujud sejak sekian lama dan meninggalkan kesan yang amat buruk dan mengganggu gugat keharmonian dan keselamatan masyarakat. 

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, semenang dadah diketahui umum serta menyedari kesan dan kemusnahan yang boleh terjadi akibat pengambilan dadah.

“Ia merupakan satu bencana yang amat dahsyat kepada masyarakat dan negara sehinggakan Kerajaan telah mengisytiharkan Dadah adalah musuh No. 1 negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan program Sambutan Minggu Antidadah Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah 2019, di Dewan Seminar Mengkabong, Intan Kmapus Sabah, pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Kesihatan Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi.

Frankie berkata, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), bagi tahun 2018, sebanyak 17,474 penagih baharu dikesan.

Katanya, sungguhpun angka ini mencatat sedikit penurunan sebanyak 5.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 18,440 telah dikesan pada tahun 2017, namun angka tersebut masih berada dalam tahap yang agak membimbangkan.

Norazlinah (kiri) melawat gerai pameran program Sambutan Minggu Antidadah Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah 2019

“Daripada jumlah ini, negeri Sabah mencatatkan sebanyak 1,200 kes, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 14.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan 1,047 kes. Jumlah ini mewakili 4.7 peratus dari statistik seluruh negara,” katanya.

Frankie berkata, antara fakta yang signifikan sebab-sebab mengapa berlakunya penggunaan atau bermulanya pengambilan dadah adalah pengaruh rakan, perasaan ingin tahu dan keseronokan. Keadaan ini merupakan tiga sebab utama bermulanya penggunaan dadah.

Katanya, sebab-sebab lain adalah seperti akibat tekanan jiwa, pekerjaan, hiburan, kurangnya didikan agama, masalah kewangan, melangsingkan badan, penderaan, perubatan, seks, teraniaya, tiada ilmu tentang bahaya dadah, untuk tujuan belajar, untuk menahan kesakitan, rangsangan dan penggunaan secara tidak sengaja sehingga menyebabkan ketagihan.

“Melihat kepada statistik dan fakta-fakta tersebut, kita sedia maklum bahawa Kerajaan melalui agensi-agensi pelaksana dan penguatkuasaan yang ada, telah bersama-sama melaksanakan pelbagai program gerak gempur dalam usaha untuk membanteras dan menghapuskan aktiviti yang tidak bermoral ini,” katanya.

Frankie berkata, walaupun Kerajaan telah memperkenalkan dasar, akta, undang-undang yang berkaitan bagi mengekang penularannya dalam masyarakat, namun statistik tangkapan masih menunjukkan angka yang agak membimbangkan.

“Meskipun jika dilihat dari segi keseluruhan, dalam tempoh 3 tahun ke belakang, terdapatnya trend penurunan sebanyak 18 peratus kes penagih dadah yang dikesan, iaitu daripada 30,844 kes pada tahun 2016 berbanding 25,267 kes dikesan pada tahun 2018, usaha harus terus dibuat bagi memastikan angka ini akan terus menurun sehingga kita mencapai status negara yang bebas dadah,” katanya.

Katanya, bagi merealisasikan impian ini sudah semestinya akan memerlukan sokongan sehingga ke peringkat akar umbi, masyarakat dari segenap lapisan, untuk bersama-sama membantu menangani isu ini.

“Dengan wujudnya penglibatan komuniti dipelbagai peringkat, diharapkan akan dapat membantu usaha-usaha mengekang masalah penyalahgunaan dadah agar tidak terus menjadi barah di dalam komuniti kita.

Ini sejajar dengan cabaran wawasan dan aspirasi negara dalam usaha membentuk masyarakat penyayang dan budaya menyayangi demi kepentingan masyarakat,” katanya.

Justeru, katanya setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab dan peranan penting yang harus dimainkan dalam membantu pihak-pihak berkaitan menyampaikan mesej utama mengenai bahaya dadah kepada masyarakat amnya dan dalam kalangan kita khasnya.

Frankie berkata, penganjuran program ini amat baik kerana masyarakat dapat melihat penyertaan dan kerjasama yang diberikan oleh pelbagai kumpulan yang terdiri daripada golongan pelajar-pelajar sekolah, institut pengajian tinggi, peringkat ibu bapa malah melibatkan pegawai-pegawai awam dari pelbagai kementerian dan jabatan, bersama-sama bergabung menjayakan program sambutan minggu antidadah yang menjadi aktiviti tahunan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Gabungan ini dilihat telah meliputi lebih kurang 90 peratusdaripada kumpulan sasar pendidikan pencegahan dadah yang terkandung dalam Dasar Dadah Negara,” katanya.

Beliau berkata, komitmen dan penyertaan yang diberikan menunjukkan sokongan padu yang ditunjukan sebagai solidariti dalam menyampaikan mesej penentangan dan penolakan kepada dadah.

Beliau menegaskan bahawa pengedar dadah adalah penjenayah yang amat kejam dan tidak bertimbang rasa.

“Mereka merupakan penjenayah yang terbesar yang menyebabkan wabak penyalahgunaan dadah ini Kerana tamak, mereka sanggup menggunakan pelbagai taktik kotor untuk memperdaya dan menjerat hatta kanak-kanak kecil  hingga terjerumus ke lembah ketagihan. Kesalahan ini tidak boleh dimaafkan dan melampaui batas kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Katanya, menyedari bahawa pengedar dadah adalah, Kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang yang lebih keras.

“Negara kita merupakan antara negara yang mengenakan hukuman paling berat terhadap pesalah pengedar dadah iaitu gantung sampai mati.

Mungkin ada sesetengah pihak tidak bersetuju dengan hukuman yang dikenakan malah ada yang berpandangan hukuman ini terlalu ekstrem dan amat kejam.

Namun, mereka tidak melihat kepada kesan-kesan buruk yang yang akan timbul jika perkara ini tidak ditangani dengan lebih tegas dan berkesan kerana ia boleh merosakkan keharmonian dan mengganggu gugat ekosistem persekitaran komuniti dan keselamatan negara secara amnya,” katanya.

Frankie berkata, sebagaimana yang digariskan dalam Dasar Dadah Negara, Pendidikan Pencegahan amat penting dan ia dilaksanakan melalui dua pendekatan utama iaitu media sosial dan mobilisasi komuniti.

Katanya, kedua-dua elemen ini merupakan teras penting dalam memangkin kejayaan usaha-usaha pendidikan pencegahan dadah dalam negara.

“Jika kita lihat perbandingan pada masa sekarang dengan dahulu, suatu ketika dahulu, sebahagian besar maklumat hanya dapat diakses melalui hebahan rangkaian televisyen, radio dan program-program jerayawara.

Berbeza dengan masa kini, pemerkasaan program pendidikan pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih meluas melalui penggunaan sepenuhnya teknologi terkini dan aplikasi media sosial dalam kalangan masyarakat,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *