MASUKKAN CUTI PESTA KAAMATAN, GAWAI DALAM CUTI-CUTI MALAYSIA

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), menerima saranan umum agar memasukkan cuti Pesta Kaamatan dan Gawai dalam perancangan cuti-cuti dalam Malaysia.

Perkara itu adalah susulan daripada maklum balas yang yang diterima MOTAC, berhubung perancangan cuti yang dikongsikan di dalam hantaran Facebook Tourism Malaysia, yang tidak memasukkan cuti dua perayaan itu dalam perancangan cuti negara.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, walaupun Kaamatan dan Gawai merupakan cuti umum untuk negeri Sabah dan Sarawak sahaja, tetapi ia penting untuk pengetahuan penduduk di negeri-negeri lain agar mereka tahu mengenai sambutan itu.

“Saya mengambil kira perkara ini dari sudut positif, kerana dengan keadaan begini menunjukkan keterbukaan kita (Sabah dan Sarawak), perpaduan di antara kita itu amat kuat.

“Orang Sabah dan Sarawak mahu orang dari luar Borneo untuk datang menyaksikan sendiri, bagaimana budaya Sabah dan Sarawak melalui sambutan perayaan tersebut,” katanya semasa sidang media di sini, hari ini.

Nancy berkata dengan meletakkan cuti Kaamatan dan Gawai, ia memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk merancangan percutian mereka, disamping menambah kepelbagaian dalam negara melalui cuti-cuti.

Terdahulu beliau menjelaskan bahawa cuti dua perayaan itu tidak dimasukkan dalam perancangan cuti umum negara, kerana ia adalah untuk kalender Persekutuan.

“Cuti Persekutuan adalah untuk cuti yang panjang dan banyak negeri yang akan memanfaatkan cuti-cuti di bawah Persekutuan,” katanya.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *