YAYASAN BANK RAKYAT PERUNTUK RM2 JUTA BANTU PERSEKOLAHAN PELAJAR B40

Kira-kira 10,000 pelajar sekolah di 145 lokasi di seluruh negara akan menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Pengurus Jabatan Program YBR Mohd Mukhti Abd Rahman berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut yang merangkumi bantuan baju, kasut dan beg sekolah bernilai RM150 seorang, untuk para pelajar daripada keluarga berpendapatan B40.

Beliau berkata sumbangan itu diharap dapat membantu mempertingkatkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah, meningkatkan semangat untuk mereka belajar bersungguh-sungguh dan seterusnya mendapat keputusan cemerlang.

“Bantuan persekolahan ini akan disampaikan kepada penerima secara berperingkat dan kita berharap ia dapat diselesaikan menjelang Februari depan.

“Tujuan bantuan ini adalah untuk meringankan beban kewangan ibu bapa daripada keluarga B40 yang terjejas ekoran penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Tahun 2021 YBR di Alor Gajah Melaka hari ini.