Minta tolong tangani isu potong barisan ambil vaksin, kata pembangkang kepada kerajaan

Wakil rakyat pembangkang menggesa kerajaan menangani isu “potong barisan” dalam proses pemberian vaksin.

Sim Tze Tzin (PH- Bayan Baru), berkata isu “potong barisan” perlu dipandang serius termasuk dakwaan ada ketua bahagian Umno turut terlibat.

“Kita tahu potong barisan berlaku (melibatkan) VIP, saya tahu bahawa ada ketua bahagian Umno potong barisan. Saya tidak tahu mengapa ia berlaku.

“Saya bukan nak politik tapi kita tahu kalau ada potong barisan maka peluang orang lain diambil,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau turut membangkitkan bahawa pengundi di Bayan Baru tidak diberi tarikh janji temu walaupun sudah mendaftar lebih awal dalam MySejahtera, sebaliknya warga asing yang baru mendaftar pula mendapat suntikan terlebih dahulu.

Selain itu, beliau membangkitkan kelemahan sistem MySejahtera apabila masih ada penduduk di kawasannya diberi janji temu di negeri lain untuk menerima suntikan vaksin.

“Seorang pengundi di kawasan saya diberi janji temu di Johor Bahru. Saya dan pejabat saya bantu tukar alamat lima kali, tapi mereka masih perlu keluar ke Johor Bahru untuk diberi vaksin.

“Ini kecelaruan MySejahtera, kita belanja kos RM70,000 juta, tapi masalah masih berlaku,” katanya.