Seorang pemandu berusia 56 tahun maut selepas tersepit di bawah kereta pacuan empat roda dipandunya dalam kejadian di Kampung Kologon, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Amin Sarigol yang terbabas dalam kemalangan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 9.13 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama tiga jentera kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.
“Lokasi kejadian terletak kira-kira tiga kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau. Sebaik tiba, mangsa didapati masih tersepit di bawah kenderaannya.
“Operasi mengeluarkannya segera dijalankan dan mangsa berjaya dikeluarkan beberapa minit selepas itu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.50 pagi,” katanya.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad