KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan untuk membuka semua laluan pintu masuk ke Sabah bertujuan bagi menghidupkan semula sektor ekonomi yang terjejas berikutan pandemik Covid-19.
Beliau berkata bagaimanapun kebenaran itu tertakluk kepada tahap kesihatan individu berkenaan yang perlu mempunyai surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan yang mengesahkan bahawa mereka bebas daripada virus Covid-19.
“Sebelum ini kita tidak menggalakkan mereka untuk datang (ke Sabah) tidak kira positif atau negatif (Covid-19) tetapi kini, kita benarkan mereka datang sama ada untuk berniaga, mengajar, mencari pekerjaan, penjawat awam dan bukan penjawat awam atau ‘makan angin’, itu terserah kepada mereka, yang penting kita hanya perlu tahu mereka negatif Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi SabahTrace di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Shafie berkata, dengan pendekatan secara berperingkat itu diharap akan dapat membantu menjana semula permintaan dalam sektor perhotelan sekali gus membantu menjana pendapatan bagi sektor e-hailing, pertanian dan ekosistem sektor lain yang terlibat sejak operasi perniagaan dibenarkan bermula pada 9 Mei lepas.
Mengenai aplikasi SabahTrace itu, Shafie berkata sehingga 2 Jun ini, sebanyak 4,446 premis di negeri ini telah berdaftar selepas diperkenalkan pada 18 Mei lalu dan mencatatkan seramai 267,775 jumlah daftar masuk menggunakan aplikasi itu.
Beliau berkata melalui aplikasi itu pengguna perlu mengisi nama, nombor telefon serta suhu badan setiap kali masuk ke premis yang menggunakan kod QR dan maklumat pengguna akan disimpan dalam aplikasi itu bagi tempoh sebulan.
Katanya aplikasi yang dibangunkan oleh Bahagian Kerajaan Digital negeri ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menambah baik keupayaan pengesanan kontak (Covid-19) melalui teknologi digital serta analisis data.
Dalam perkembangan berkaitan, Shafie berkata dibawah pakej ‘Sabah We Care Covid-19’ kerajaan negeri telah menghulurkan sumbangan berjumlah RM158.4 juta kepada 760,454 penerima yang terdiri daripada pelbagai agensi, jabatan dan kementerian yang terkesan dengan sepanjang tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berlangsung.-http://beritasabah.com
More Stories
Gabungan GRS-PH Plus tentukan hala tuju politik Sabah hadapi PRN – Armizan
Tamu Desa Kampung Pelakat jadi pusat aktiviti keusahawanan komuniti jual produk pertanian, hasil laut di Sipitang
Aksi akhir Liga Super: Peluang pemain muda tunjuk kualiti