KOTA KINABALU: Uskup Agung John Wong dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu mengumumkan penggantungan sementara semua Misa dan lain-lain perhimpunan di Keuskupan Agung berkuatkuasa hari ini sehingga 1 April depan.
Ia berikutan penularan wabak CONVID-19 yang kini telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Wong berkata, langkah itu telah diambil selaras nasihat kepada gereja yang diterima daripada Kementerian Kesihatan yang sebelum ini mengeluarkan cadangan bahawa semua perhimpunan besar perlu dihentikan.
“Kerajaan Negeri Sabah juga telah mengeluarkan kenyataan semalam dengan mengatakan bahawa semua perhimpunan yang melibatkan lebih daripada 50 orang mesti ditangguhkan sehingga diberitahu kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata penggantungan sementara perhimpunan gereja juga diambil sebagai salah satu langkah untuk mengatasi wabak besar COVID-19 yang mana terdapat beberapa kes telah disahkan positif di Sabah.
“Oleh itu, berkuat kuasa hari ini semua Misa, mesyuarat dan perhimpunan seperti kelas katekisme, , Upacara Penitential dan Jalan Salib pada hari Jumaat, serta program lain dan juga aktiviti gereja di semua gereja Keuskupan Agung Kota Kinabalu dibatalkan,” katanya.
Beliau berkata berkaitan majlis perkahwinan dan pengkebumian, pihak yang berkenaan boleh mengendalikan majlis itu secara persendirian dengan tetamu terhad kepada ahli keluarga terdekat,.
“Bagi mana-mana Sakramen lain, umat disarankan untuk menghubungi pejabat paroki dan paderi paroki dikehendaki mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu di dalam memberikan Sakramen-sakramen berkenaan.
Wong berkata paroki di kawasan masing-masing juga akan membuat Penyiaran Langsung Misa dalam pelbagai Bahasa dan umat Katolik di Keuskupan boleh mengikuti mana-mana siaran itu melalui Internet.
“Contoh siaran sedemikian disediakan oleh Paroki St Peter Claver di Ranau, dengan siri Cahaya Kinabalu,” tambahnya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ