JAMES : PANTAU KENAIKAN HARGA BARANG

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut Datuk James Ratib menggesa pihak bertanggungjawab khususnya Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau kenaikan harga barang di negeri ini ekoran penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata terdapat banyak aduan daripada orang ramai mengenai kenaikan harga barangan di kedai runcit dan pasar raya besar disebabkan penularan wabak berkenaan.

“Sejak semalam orang ramai mula berpusu-pusu memasuki pasaraya membeli pelbagai barangan keperluan dengan kuantiti yang banyak ekoran kebimbangan mengenai wabak pendemik berkenaan yang semakin meruncing.

“Dengan itu ada peniaga yang tidak bertanggungjawab sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sehingga membebankan para pembeli. Oleh itu saya meminta KPDNHEP dan kerajaan negeri Sabah segara membuat pemantauan agar masalah ini dapat diatasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

Setakat ini, difahamkan tiga kes positif COVID-19 telah direkodkan di Sabah.
Kes pertama direkodkan di Tawau membabitkan lelaki berusia 58 tahun dan kes kedua difahamkan di Papar melibatkan lelaki berusia 42 tahun. Manakala, maklumat mengenai kes ketiga di Kota Kinabalu masih belum diketahui.

Bagi kes pertama dan kedua, kedua-dua pesakit merupakan jemaah yang menyertai Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac.

Berikutan penularan wabak berkenaan, Kerajaan Negeri Sabah turut mengeluarkan kenyataan agar Semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai yang melebihi 50 orang hendaklah ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19.