MITI TUBUHKAN INVEST SABAH, BAKAL TARIK PELABUR

Oleh Willie Jude

TUARAN: Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) akan menubuhkan satu agensi baharu yang diberi nama Invest Sabah pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata, Agensi yang dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya pada Mei berkenaan adalah salah satu usaha MITI dalam menarik lebih ramai pelabur datang serta merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita akan memulakan operasi Invest Sabah selewat-lewatnya pada Mei dengan pengambilan kakitangan seawal Februari.

“Pada tahun ini misi-misi perdagangan dan pelaburan yang kita buat di luar negara akan lebih tersusun berikutan dengan penubuhan Invest Sabah.

“Invest Sabah akan beroperasi sepenuhnya pada tahun ini kita akan mengatur, kabinet sudah pun meluluskan,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Krismas beliau di Dewan Tenghilan, dekat sini, kelmarin.

Madius berkata, kementeriannya kini sedang dalam proses menyusun serta mengambil para pegawai yang diperlukan.

“Melalui Invest Sabah ini saya sangat yakin kita akan dapat tingkatkan lagi usaha untuk menarik pelabur-pelabur datang ke negeri Sabah,” katanya.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Industri berkata selama ini saingan kita memang begitu hebat daripada negeri-negeri jiran.

“Masing-masing punya kekuatan, contohnya Sarawak punya kekuatan sendiri kita pun ada kekuatan kita sendiri tapi ini akan ditambah dengan satu agensi yang bertanggungjawab keatas pelaburan di bawah kementerian saya,” katanya.

“Ini memang telah diluluskan oleh Kabinet negeri dan langkah pertama adalah mencari seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang hebat,” katanya.

Kemudian Jabatan Pembangunan, Perindustrian dan Penyelidikan (DDIR) yang ada sekarang akan di transformasi menjadi Jabatan Pembangunan Keusahawanan memandangkan hal-hal perindustrian dan pelaburan akan dikendali oleh Invest Sabah, katanya.

“Kita mahu membina usahawan-usahawan yang berdaya saing. Memang selama ini banyak yang sudah kita latih tapi tidak ramai yang keluar menjadi industrialis.

“Jadi ini yang kita mahu pertingkatkan melalui pendekatan yang baharu kita juga mahu supaya DDIR yang baharu ini dapat mengadakan kolaborasi yang lebih hebat dengan agensi-agensi lain termasuk juga Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Selain itu, katanya bermula pada tahun ini juga kerajaan akan mempertingkatkan daya kreativiti dan inovasi rakyat Sabah dengab tertubuhnya Pusat Inovasi, Ekonomi Kreatif dan Pendidikan.

Buat permulaan, pusat ini diletakkan di bawah KKIP sebelum ianya menjadi satu agensi tersendiri dalam kementerian, katanya.

“Kita sudah pilih Ketua Pegawai Eksekutif dan dia akan mengorak langkah dalam satu dua bulan ini dan dengan itu kita berharap bukan sahaja inovator muda tetapi juga usahawan-usahawan akan mengambil inovasi di sana untuk digerakkan di peringkat akar umbi mahupun di peringkat industri kecil dan sederhana (PKS) sebagainya,” katanya.

Madius berharap pada tahun ini kolaborasi antara Kementerian Perdagangan dan Industri dengan kementerian-kementerian lain akan lebih hebat.

Sekian lama ianya menjadi satu cabaran disebabkan kurangnya kolaborasi kerjasama antara kementerian, kata beliau.