Ewon menyampaikan sumbangan kepada Lucas (lima dari kanan), turut kelihatan Tajudin (empat dari kanan).
TENOM: (24 September) Pusat Perkembangan Bahasa Murut (MLC) mendapat suntikan semangat dalam misi memartabatkan bahasa Murut itu apabila Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick menyumbang RM10,000 untuk membantu MLC melaksanakan kelas tadika Murut.
Sambil berterima kasih kepada Ewon, Pengerusi MLC Tajudin Tawid berkata impian MLC untuk memulakan kelas Tadika Bahasa Murut di Kampung Bunut tahun depan kini bakal menjadi kenyataan.
Beliau berkata, buat masa ini MLC dalam proses menyediakan kemudahan termasuk bangunan dan bahan-bahan pengajaran kelas bahasa Murut yang bertujuan mengekalkan bahasa itu agar tidak hilang ditelan zaman.
“Sekarang ini, kita sudah ada bangunan sendiri khas untuk melaksanakan Kelas Tadika Bahasa Murut dan saya berharap sumbangan sejumlah RM10,000 daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick dapat membantu merealisasikan impian kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ringkas penyerahan sumbangan untuk MLC di kediaman Senator Datuk Dr Lucas Umbul di Tenom, baru-baru ini.
Tajudin berkata buat permulaan pihaknya hanya mengambil 20 kanak-kanak untuk mengikuti kelas tadika Murut itu.
“Oleh kerana kelas ini bukan pembelajaran berasaskan sekolah tetapi lebih kepada pengekalan bahasa ibunda, maka kita tiada had umur kerana kita faham bahasa Murut semakin hilang …orang tidak lagi bertutur dalam bahasa Murut.
“Sebab itu, pihak kami terpanggil merintis jalan untuk membuka kelas tadika Murut, sekali gus mengekalkan Bahasa Murut dan menggalakkan generasi muda bertutur dalam bahasa ibunda, “ katanya.
Tajudin berkata, sebagai rintis pembelajaran bahasa Murut di sekolah, tiga sekolah rendah telahpun memulakan pengajaran Bahasa Murut melibatkan 70 murid.
“Sekolah itu ialah SK Masanoi, SK Bamban dan SK Malalap dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong dan Malalap.
“Kelas Bahasa Murut di peringkat sekolah rendah dimulakan sejak 2015 dan diajar selepas masa persekolahan kerana ia belum dimasukkan dalam jadual pembelajaran sekolah,” katanya.
Beliau berkata, MLC telah menghantar permohonan kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memperkenalkan seterusnya memasukkan Bahasa Murut sebagai antara mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah namun kementerian itu mencadangkan agar MLC mengadakan kelas tadika terlebih dahulu.
Dari segi penyediaan tenaga pengajar Bahasa Murut beliau berkata, ia tidak menjadi masalah kerana ramai guru terlatih yang telah mengikuti latihan dan kursus sebelum ini.
Mengenai aktiviti MLC, Tajudin berkata, mereka telah menyediakan buku-buku yang diperlukan untuk pengajaran bahasa itu di sekolah.
“Kita telah menerbitkan sebuah kamus pelajar Bahasa Murut Timugon dan Tagol dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Buku itu akan digunakan oleh pelajar yang mengikuti kelas tadika nanti,” katanya.
Ewon bergambar bersama sebahagian penduduk kampung yang hadir.
More Stories
Galeri Azman Hashim UMS Bantu Martabat Karya Seni Tempatan
Jabatan Bendahari UMS Terus Tradisi Program ‘Ketuk-Ketuk Ramadan’
JAKMAS KKTF UMS anjur Festival Kesenian Islam peringkat Kebangsaan