MPS DIGESA AMBIL TINDAKAN TERHADAP PELAKU MUSNAH KEMUDAHAN AWAM DI TAMAN UJANA ELOPURA

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong (gambar) menggesa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk mengambil tindakan terhadap pelaku musnah kemudahan awam di Taman Awam Ujana Elopura, Batu 2 Jalan Utara disini.

Beliau juga mencadangkan agar MPS dapat menyediakan pengawal keselamatan untuk meronda kawasan taman tersebut untuk mencegah orang yang tidak bertanggungjawab memusnahkan kemudahan di dalam taman tersebut.

“Saya dapati beberapa kemudahan awam di taman riadah ini telah dimusnahkan dan diambil oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Taman awam ini juga mempunyai tasik buatan dan papan tanda serta laluan kayunya juga telah hilang disyaki telah ditanggalkan oleh pelaku musnah atau pelaku vandalisma.

Vivian menyatakan kekecewaan itu selepas melawat dan melihat sendiri keadaan di sekitar kawasan taman riadah awam itu.

Lawatan itu juga susulan aduan awam yang beliau terima daripada masyarakat yang juga pengguna taman awam itu.

“Kita dapati, pokok-pokok di sekeliling taman ini juga tidak diurus dengan baik dan mulai layu,” katanya.

Bagi menyelesaikan isu ini, Vivian berkata, beliau akan mengatur satu mesyuarat  bersama Presiden MPS yang baru dilantik, Wong Foo Tin.

“Saya ingin membincangkan perkara berkenaan penyelenggaraan dan pengurusan Taman Awam Ujana Elopura ini dengan Presiden agar kemudahan yang telah dimusnahkan di dalam taman tersebut dapat diperbaiki dan dapat digunakan rakyat dengan selamat.” Katanya.

Tambahnya, ini berikutan Taman Awam Ujana Elopura itu juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti permainan kanak-kanak, jalan batu di taman, kemudahan kecergasan, tasik dan lain-lain. 

“Ia merupakan tempat yang baik untuk rakyat beriadah dan bersukan serta mengamalkan gaya hidup yang sihat.” Jelasnya.

Katanya, kerajaan juga telah membelanjakan sejumlah peruntukkan untuk menyediakan dan menaik taraf kemudahan di taman awam ini.

Jelasnya, Taman Awam Ujana Elopura ini juga harus digunakan dengan baik dan adalah penting penyelenggaraan serta pengurusan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya agar tidak membazir dana kerajaan.