Muhyiddin sedia pertimbang kerjasama ‘jika Pejuang serius’

PETALING JAYA: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sedia mempertimbangkan kerjasama dengan Pejuang menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) jika parti itu serius,

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada pihak yang menghubunginya berhubung kerjasama itu, kecuali perbincangan yang pernah dibuat pada “awal dahulu”.

“Setakat ini, tiada pihak yang berhubung dengan saya mengenai soal itu, lagi pun kita sudah berada dalam fasa persiapan. Jadi, saya tidak tahu kalau ada cadangan berkenaan (perkara itu).

“Awal dulu pernah bincang, tetapi selepas itu, tidak jadi apa-apa. Kalau pihak sana (Pejuang) serius, kita sedia (mempertimbangkannya),” katanya, lapor Berita Harian.

Tambahnya, perkara ini perlu dibawa ke Majlis Tertinggi Bersatu untuk dipertimbangkan keperluannya, namun secara keseluruhannya, “Perikatan Nasional (PN) dah siap sedia”.

Sebelum ini, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, beliau akan mempertimbangkan untuk menjalin kerjasama politik dengan parti lain yang turut ingin menentang Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Beliau tidak menamakan mana-mana parti, namun menyatakan kesanggupan pihaknya untuk mengadakan kerjasama demi menyelamatkan negara daripada pemerintahan Umno.