PM gesa kerajaan negeri bubar DUN juga

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, susulan pembubaran Parlimen.

Tetapi katanya, DUN di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor tidak perlu dibubarkan.

Sabah mengadakan pilihan raya negeri (PRN) pada September 2020, manakala Melaka dan Sarawak pada November serta December 2021 dan Johor mengadakan PRN pada Mac lalu.

“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” kata Ismail dalam perutusan khas.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-76 di ibu negara berkata, DUN di bawah pentadbiran gabungan itu akan dibubarkan serentak dengan pembubaran Parlimen.

Tetapi katanya, DUN Melaka, Johor dan Sabah tidak akan dibubarkan kerana belum mencapai tempoh matang.

Pada 5 Okt lalu, Pakatan Harapan mengumumkan DUN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan dibubarkan kerana ia akan memfokuskan kebajikan rakyat, termasuk membuat persiapan bagi menghadapi banjir.

Keesokannya, PAS turut membuat keputusan sama untuk tidak membubarkan DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu.