KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman mahu kerajaan negeri mengambil langkah berterusan bagi memastikan golongan miskin tegar di Sabah dapat dikeluarkan sepenuhnya daripada isu kemiskinan.
Menerusi ucapan sulung sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-16, di sini, pada Khamis, Musa berkata usaha itu perlu sebagai susulan kejayaan kerajaan negeri menoktahkan miskin tegar pada tahun lalu.
“Saya berbangga dengan keprihatinan kerajaan dalam membasmi kemiskinan tegar melalui Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar Fasa Satu.
“Program ini berjaya menoktahkan seramai 22,510 orang Ketua Isi Rumah (KIR) dalam senarai ‘locked figure’ miskin tegar pada 31 Julai 2024.
“Saya berharap agar langkah dan pemantauan yang berterusan akan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan golongan ini terus berjaya keluar dari garis kemiskinan,” katanya.
Musa menyampaikan ucapan dasar kerajaan negeri sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima DUN Sabah Yang Ke-16 di Bangunan DUN Sabah, hari ini, sebelum disusuli persidangan DUN bermula Isnin hingga Khamis depan.
Ia adalah ucapan sulung bekas Ketua Menteri Sabah Ke-14 itu selaku Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah selepas dilantik ke jawatan berkenaan berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar adalah antara perkara yang disentuh Musa dalam usaha kerajaan negeri memacu pembangunan wilayah yang seimbang di Sabah.
Katanya, perhatian khusus juga diberikan untuk menyediakan rumah kepada golongan miskin di luar bandar, khususnya menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pada tahun ini, peruntukan program ini dinaikkan, membolehkan sebanyak 40 unit rumah dibina di setiap kawasan DUN berbanding 20 unit pada tahun lalu.
“Kerajaan negeri juga akan terus menyediakan kemudahan asas perumahan yang berkualiti dan mampu milik melalui Projek Perumahan Awam dan Program Perumahan Mampu Milik untuk memastikan rakyat, khususnya dalam kalangan B40, mendapat akses kepada kediaman yang selesa dan berpatutan,” katanya.
Dalam pada itu, Musa berkata menerusi Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), kerajaan negeri menyasarkan untuk mencapai 100 peratus liputan bekalan elektrik luar bandar di Sabah menjelang 2030.
Bagi merealisasikan sasaran itu, katanya Jawatankuasa Elektrifikasi Luar Bandar Sabah ditubuhkan bagi mempergiat dan mempercepatkan inisiatif yang dirangka serta kaedah inovasi bagi menangani isu bekalan elektrik luar bandar.
“Selain itu, masyarakat luar bandar turut menerima manfaat yang besar menerusi pelaksanaan berterusan program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA).
“Dari 2021 hingga 2024, sebanyak 46 kampung yang meliputi 2,484 orang penduduk menerima manfaat daripada program BELBA, manakala melalui program BALBA, sebanyak 29 kemudahan air bersih disalurkan ke beberapa daerah pedalaman dan memberi manfaat kepada seramai 5,536 penduduk,” katanya.
Katanya, melalui kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan, usaha meningkatkan pendapatan golongan B40 di luar bandar di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kini menampakkan hasil yang memberangsangkan.
Setakat ini, katanya Sabah berjaya merealisasikan eksport pertama nanas MD2 sebanyak 15 tan pada Februari lalu, melalui projek penanaman nanas di bawah inisiatif IPR yang memberi manfaat kepada seramai 450 pekebun kecil di luar bandar.
“Kejayaan ini bukan saja memberikan pendapatan tambahan kepada pekebun kecil dalam kalangan B40 tetapi turut membuka peluang baharu dalam sektor pertanian serta meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” katanya. – Info X
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan