Naib Ketua Bahagian STAR Tuaran kempen untuk kemenangan Madius pada PRU15

TUARAN: Naib Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Parlimen P170 Tuaran, Jaimon Lambu mengumumkan akan berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, beliau telah meletakkan jawatan dan keluar daripada STAR kerana tidak bersetuju kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Barisan Nasional – UMNO.

“Ini bukanlah perjuangan STAR yang asal. Sebelum ini, bila saya kempen rakan-rakan lain untuk sertai STAR saya rasa agak susah kerana kerjasama yang telah dibina dengan pihak BN-UMNO.

“Isteri saya merupakan Timbalan Ketua Wanita STAR Sulaman merangkap Ketua Penerangan Bahagian Tuaran STAR juga sudah meletakkan jawatan. Malah kami semua termasuk anak-anak sudah mengisi borang keahlian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan borang keahlian UPKO kepada Madius semasa kempen PRU di Sulaman, di sini, semalam.

Menurut Jaimon, keputusannya itu telah diambil selepas berfikir dan membuat pertimbangan yang panjang.

“Sebelum keputusan diambil, saya ada menghubungi rakan-rakan di STAR dan memaklumkan tentang niat ini. Mereka menyatakan bahawa di parti ini saya sudah ada kedudukan, apabila sokong PH saya cuma ahli biasa.

“Saya memberitahu, saya mahu jadi penyokong biasa sahaja, saya akan berkempen Calon PH untuk memastikan BN-UMNO tidak berkuasa lagi selepas pada PRU ini,” katanya yang turut memaklumkan hubungan antara mereka masih terjalin erat hingga kini.

Kira-kira 50 ahli STAR Bahagian Tuaran turut dijangka mengambil keputusan sama dalam tempoh terdekat ini.