PEJUANG DUN Kiulu ‘gulung tikar’, 2,500 ahli termasuk Ketua Parti sertai UPKO-PH

TAMPARULI: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu secara rasminya terbubar apabila Ketuanya, Lotimin Lindud, 56, mengumumkan perletakan jawatan sekali gus membuat pendirian menyokong Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pengumuman itu dibuat bersama 10 Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) PEJUANG DUN Kiulu, dengan disaksikan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) merangkap calon PH Parlimen P170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, di sini, hari ini.  

“Saya juga meletakkan jawatan selaku Exco Biro Ekonomi Parti PEJUANG Negeri Sabah dengan serta merta sekali gus mengumumkan untuk keluar parti.

“Saya bersama semua Ketua PDM serta 2,500 ahli turut ingin mengumumkan untuk bersama-sama menyokong UPKO – PH Tuaran di bawah pimpinan Datuk Seri Madius,” ujar Lotimin.

Menurutnya, keputusan untuk meninggalkan Parti PEJUANG disebabkan hilangnya rasa percaya terhadap tampuk kepimpinan di peringkat pusat.

“Selain itu, keputusan ini diambil bagi menyokong tawaran PH dalam memperjuangkan hak-hak rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Kami sedar dan tidak mahu berada di sesebuah parti yang hanya memperjuangkan kaum-kaum tertentu sahaja,” jelas beliau yang berasal dari Pekan Nabalu.

Sementara itu, Madius menyambut baik sokongan dan penyertaan parti PEJUANG sambil menyifatkan rakyat kini bijak menilai tawaran yang lebih baik untuk dinikmati di negara ini terutamanya di Sabah.

“Sebagai contoh salah satu Tawaran PH pada kali ini ialah memastikan tuntutan 40% Hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus dilaksanakan apabila PH menang dan menjadi kerajaan selepas PRU15.

“Tidak ada lagi runding-runding, tetapi akan terus dilaksana dan ini telah dipersetujui oleh semua Parti Komponen dalam PH, di mana saya sendiri merupakan Ahli Majlis Presiden PH.

“Pelbagai lagi Tawaran PH untuk dikecapi rakyat berbilang kaum dan agama sekiranya PH diberi mandat pada PRU15. Semuanya boleh difahami dan dihayati dengan melayari portal kitaboleh.my,” katanya.