NASIB IBU TUNGGAL DAN TUJUH ORANG ANAKNYA MENDAPAT PERHATIAN VIVIAN WONG

Vivian Wong bersama ibu tunggal dan anak-anaknya

SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong akan berusaha menempatkan seorang wanita yang sebelum ini tinggal di sebuah pondok usang di Batu 3, disini, bersama tujuh orang anaknya yang berusia 11 bulan hingga 10 tahun, di kediaman yang baharu.

Buat sementara waktu, wanita berkenaan bersama anaknya akan menetap sementara di kediaman salah seoang wanita DAP di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan.

“Ia juga tindakan sementara menunggu permohonan kemasukan wanita berkenaan bersama anak-anaknya di PPR yang dimohon kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS),” ujarnya. 

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan terhadap wanita berkenaan dan tujuh orang anaknya di kediaman sementaranya di rumah salah seorang wanita DAP itu di PPR Taman Harmoni, Sandakan.

Nasib wanita yang tinggal bersama tujuh orang anaknya itu diketahui selepas laporan diterima oleh pihaknya.

Wakil Pejabat Parlimen Sandakan iaitu Pegawai Khas Parlimen Sandakan, Amsi Liew bersama pihak Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sandakan kemudian segera melakukan lawatan ke pondok usang yang didiami lapan beranak itu.

Menerusi soal siasat ringkas, wanita itu juga difahamkan telah ditinggalkan suaminya sejak anak bungsu mereka masih dalam kandungan lagi.

Sehingga kini suaminya yang juga difahamkan seorang penagih telah hilang jejak.

Wanita berkenaan kemudian membesarkan sendiri ketujuh-tujuh anaknya itu selepas mereka ditinggalkan.

Sementara itu, Vivian berharap pihak MPS juga akan melihat keperluan rumah bagi wanita itu dan anak-anaknya dan akan mendapatkan PPR untuk mereka dengan segera setelah melihat kesusahan yang mereka hadapi.

Vivian juga berharap MPS akan menilai semula atau mengkaji penduduk PPR sedia ada samada mereka benar-benar masih layak menduduki perumahan itu atau tidak.

“Tindakan MPS ini penting bagi membolehkan mereka yang benar-benar memerlukan dan layak menduduki PPR, dapat tinggal di rumah itu,” jelasnya. 

Ini juga kerana masih terdapat kira-kira 3,000 penduduk termasuk dalam senarai menunggu PPR disini.

“Saya juga berharap, PPR dikawasan Batu Putih, Batu 7, Sandakan, dapat dibuka dengan segera agar rakyat yang memerlukan dapat tinggal di rumah itu.

Dalam pada itu, Vivian berkata, pihaknya juga akan berusaha mencari peluang pekerjaan untuk wanita ini agar dapat membantu menambah pendapatan dan menampung kehidupan seharian mereka.

“Lebih penting lagi agar anak-anaknya juga dapat kembali bersekolah kelak.” Katanya.