Nusantara; Indonesia bertujuan menjadi kuasa serantau di Asia Tenggara

YB Chan Foong Hin

KOTA KINABALU, 18 Mac — Pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur telah disifatkan sebagai satu peristiwa yang jarang-jarang berlaku untuk pembangunan wilayah.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, menggesa Sabah mencari jalan untuk meningkatkan hubungan dengan ibu negara baharu Indonesia itu agar mendapat manfaat daripada peluang ini.

“Ibu negara baharu Indonesia telah dinamakan Nusantara, dan ini menunjukkan bahawa Indonesia akan menjadi pusat kuasa di rantau ini. Bagaimanakah ini boleh dimonopoli oleh satu negara di rantau ini?” kata Chan dalam forum Kelahiran Nusantara: Peluang untuk BIMP-EAGA.

Chan kemudian menyatakan bahawa dalam konteks Indonesia, “Nusantara” adalah wilayah yang ditakluki pada abad ke-13 hingga ke-16 oleh empayar Majapahit iaitu sebuah kuasa besar dalam sejarah Asia Tenggara.

“Indonesia semakin meningkat dan perpindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan adalah satu peristiwa yang mencipta zaman. Adakah Malaysia, khususnya Sabah, yang paling hampir dari segi geografi, bersedia untuk itu? Ini sememangnya peluang yang jarang berlaku,” katanya.

Chan berkata, pada 15 Mac lalu, beliau telah bertanya di Parlimen Malaysia sama ada Kementerian Pengangkutan mempunyai rancangan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembinaan perkhidmatan kereta api yang menghubungkan Sarawak, Brunei, Sabah dan Nusantara, Indonesia.

“Jawapan kementerian itu adalah mengecewakan. Mereka mengatakan tiada rancangan sedemikian buat masa ini. Nampaknya Putrajaya gagal melihat keperluan mendesak untuk merebut peluang yang jarang datang dengan perpindahan ibu negara Indonesia,” katanya.

Chan kemudian menggesa Putrajaya supaya memperkukuh jalinan antara Sabah dan Kalimantan Timur bagi membolehkan penduduk di sini dapat merebut peluang yang ada.

“Nusantara tidak sedekat yang disangka, malah dari pekan sempadan Kalabakan Simangaris ke Nusantara adalah hampir 1,000 kilometer,” jelasnya.

Chan menegaskan bahawa pentingnya untuk mengukuhkan bukan sahaja hubungan darat, tetapi juga hubungan laut dan udara ke ibu negara Indonesia yang baharu.

“Pelabuhan di pantai timur Sabah, khususnya pelabuhan POIC di Lahad Datu, berkongsi Selat Makassar yang sama dengan pelabuhan lain di Kalimantan Timur, ini sekaligus boleh dihubungkan secara bersiri untuk menjadi laluan air alternatif di luar Selat Melaka.

“Dari segi perhubungan darat pula, perhubungan antara Simangaris di Kalimantan dan Serudong di Kalabakan perlu diberi keutamaan. Bukan sahaja kompleks Kuarantin dan Keselamatan Imigresen Kastam (CIQS) diperlukan, perbandaran sempadan turut boleh dibangunkan menjadi kawasan perdagangan bebas untuk mengukuhkan perdagangan dua hala,” kata Chan.

Bagi sambungan udara, beliau menyatakan bahawa penerbangan antara Sabah dan Kalimantan Timur adalah kurang.

“Sebelum penularan wabak Covid-19, hanya terdapat pesawat kecil yang melalui laluan dari Tawau ke Tarakan dan tiada sambungan udara antara bandar utama Kalimantan Timur seperti Balikpapan dan Samarinda. Lebih banyak penerbangan perlu diperkenalkan,” katanya.