AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT UNTUK KURANGKAN RISIKO HIDAP PENYAKIT KANSER

Zakaria (kanan) semasa merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal Peringkat Daerah Sandakan Ahad lepas

SANDAKAN: Masyarakarat perlu lebih peka mengenai pencegahan penyakit kanser dengan membuat ujian saringan kesihatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
Pada masa sama masyarakat juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko menghidapi penyakit seumpama, antaranya dengan mengekalkan berat badan unggul, memakan buah buahan dan sayur yang tinggi dengan serat, aktif bersukan, mengurangkan makanan berproses dan tinggi lemak serta tidak merokok dan mengambil alkohol berlebihan.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Hj Mohd Edris berkata, pencegahan dan pemeriksaan kesihatan amat penting untuk memastikan sebarang penyakit dapat dikesan dengan awal selain membolehkan rawatan dapat diberi dengan segera.
Beliau berkata, berdasarkan data registri kanser kebangsaan, kanser kolorektal atau kanser usus besar merupakan kanser kedua paling tinggi di Malaysia selepas kanser payu dara dan menyumbang sebanyak 13.2 peratus dari keseluruhan kanser di negara ini. 
Jelasnya, kejadian kanser usus besar ini meningkat dengan pertambahan usia dan kebanyakan kes dikesan di kalangan lelaki atau wanita yang berumur 60 tahun ke atas. 
Zakaria berucap demikian merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal Peringkat Daerah Sandakan di Sandakan. Hadir sama, Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr Hj Johari Awang Besar.
Zakaria berkata, data registri kanser kebangsaan turut menunjukkan 54 peratus lebih daripada separuh kes kolorektal di kesan diperingkat lewat apabila kanser telah merebak.
Sementara di Sandakan, berdasarkan data pada tahun 2015 hingga 2018 angka berkenaan mencecah hampir 70 peratus.
Justeru beliau berkata, usaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat di daerah ini berhubung penyakit berkenaan perlu dilaksanakan secara berterusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *