Operasi pembersihan, pemantauan bomba di Sungai Kim kim ditamatkan malam tadi

[ad_1]

JOHOR BAHRU, 8 Mac (Bernama) — Operasi pembersihan dan pemantauan Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, ditamatkan malam tadi.

Pengarah JBPM Johor Datuk Yahaya Madis berkata operasi ditamatkan pada 8.30 malam selepas pemantauan pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) mendapati bacaan gas kimia di sungai yang tercemar itu berada pada tahap selamat.

Beliau berkata walaubagaimanapun, pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor dalam keadaan bersiap siaga sekiranya terdapat panggilan susulan dari penduduk setempat berkenaan kes tersebut.

“Tindakan selanjutnya akan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) untuk membuat pemantauan dan pembersihan di sepanjang sungai tersebut selama lima hari,” katanya di sini hari ini.

Yahaya berkata sekiranya berlaku sebarang bahaya, pihak MPPG juga akan membuat hebahan kepada penduduk setempat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Semalam, 1,400 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, diarah mengosongkan kawasan sekolah selepas terdapat pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai dari bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.

Setakat ini, seramai 39 mangsa termasuk 21 pelajar SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih serta orang awam sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail, di sini, selepas terhidu gas tersebut.

— BERNAMA



[ad_2]