Ops Pantau: KPDNHEP Sabah sudah periksa 1,167 premis dengan nilai rampasan RM6,665

Sebanyak 1,167 premis perniagaan sudah diperiksa sepanjang operasi Ops Pantau yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, bermula 14 April lalu.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, hasil operasi berkenaan, sebanyak 20 tindakan kes dengan nilai rampasan berjumlah RM6,665 dihasilkan.

Katanya, 16 kes berkenaan dikompaun serta-merta dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1,700 manakala empat kes lagi masih dalam siasatan lanjut.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 membabitkan 14 kes iaitu kegagalan peniaga mempamerkan penandaan harga.

“Tiga lagi kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 iaitu tidak menyelenggarakan Buku Penyata Stok barangan kawalan manakala dua lagi kes mengikut Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 iaitu menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, dalam operasi berkenaan, KPDNHEP turut mengesan satu kes mengikut Akta Pelindungan Pengguna (APP) 1999 iaitu harga yang mengelirukan.

Katanya, sepanjang tempoh Ops Pantau ini dikuatkuasakan, KPDNHEP Sabah juga sudah mengeluarkan 29 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Notis berkenaan membabitkan 15 NPMB iaitu jualan air kosong, sembilan NPMB bahan binaan dan lima NPMB yang berkaitan dengan harga ayam.

“NPMB ini dikeluarkan bertujuan untuk mendapatkan maklumat harga dan kos barangan yang terbabit,” katanya.

Sementara itu, Georgie berkata, pihaknya turut menerima sebanyak 41 aduan sejak Ops Pantau berkuatkuasa.

Katanya, antara jenis aduan yang diterima adalah berkaitan transaksi atas talian membabitkan 20 aduan, lapan aduan harga, empat aduan berhubung perkhidmatan mengelirukan (4 aduan) dan satu aduan berkaitan barang kawalan.

“KPDNHEP Sabah akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan serta pemeriksaan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidil Fitri Tahun 2021 menerusi Ops Pantau bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi.

“Disamping itu, ia juga bagi membantu peniaga menjalankan perdagangan yang kompetitif dengan mematuhi perundangan di bawah bidang kuasa KPDNHEP,” katanya.

Georgie berkata, KPDNHEP amat mengalu-alukan kerjasama pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku perniagaan atau aduan melalui saluran yang disediakan. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *