OPS SARANG KHAS, 172 DITAHAN

KOTA KINABALU: Seramai 172 individu berjaya ditahan dalam operasi ‘Op Sarang Khas’ yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, dalam tempoh 15 jam, semalam.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, polis mengempur 60 kawasan ‘hotspot’ yang dikenalpasti menjadi lokasi penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Operasi dijalankan dengan kekuatan seramai 41 pegawai dan 267 anggota membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, semua yang ditahan dikenal pasti terbabit dalam kesalahan membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Katanya, semua yang ditahan berusia 18 hingga 62 tahun membabitkan seramai 130 penagih, 23 orang pengedar dan 19 individu yang didapati memiliki dadah.

“Bagi kesalahan bekalan, polis merekodkan sebanyak 17 kes dengan keseluruhan 23 tangkapan membabitkan tiga kes Seksyen 39B, tiga kes Seksyen 39A(2) dan 11 kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Tangkapan lain adalah membabitkan 17 kes memiliki dadah yang disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan selebihnya 130 kes mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Zaini berkata, Kota Kinabalu mencatatkan jumlah tangkapan paling ramai iaitu seramai 30 individu dan diikuti Tawau (20), Sandakan (15), Labuan (13) dan Keningau serta Kota Belud masing-masing 12 tangkapan.

Katanya, operasi kali ini juga membabitkan 15 tangkapan mengikut Seksyen 39C manakala 25 lagi suspek disiasat mengikut ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK)) 1985.

Sementara itu, Zaini memberitahu bahawa Sandakan mencatatkan rampasan dadah jenis syabu paling banyak iaitu sebanyak 519.47 gram bernilai RM51,947.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan bagi operasi selama 15 jam ini pula adalah seberat 718.91 gram yang dianggarkan bernilai RM71,891 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Dengan kejayaan kali ini, JSJN Sabah berjaya merekodkan tangkapan iaitu seramai 6,134 suspek membabitkan akta dadah dan merampas keseluruhan 43.8 kilogram (kg) syabu, 4.7 kg ganja, 2.6 kg ketamine, 2,823 biji ecstasy dan 234 kg daun ketum.

“Polis akan terus melakukan usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah yang menjadi racun dan punca keruntuhan akhlak dalam masyarakat,” katanya.