Kota Kinabalu : Orang ramai sekitar bandaraya Kota Kinabalu dipelawa untuk hadir memeriahkan Mahrajan Maulidur Rasul yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.
Mahrajan yang berlangsung di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sempena sambutan Maulidur Rasul itu dirasmikan Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin.
Pelbagai aktiviti dan program akan diadakan antaranya pameran dan jualan industri kecil dan sederhana (IKS); pemeriksaan kesihatan; majlis tahlil dan doa kesyukuran serta beberapa program lain yang dirancang.
Yahya ketika berucap berkata, pihaknya cukup yakin dan optimis penganjuran program seumpama itu akan memberikan suntikan motivasi yang amat dalam kepada semua masyarakat.
Katanya, masyarakat juga akan sentiasa berusaha memperbaiki diri dan melaksanakan budaya kerja lebih cemerlang demi mencapai kejayaan bukan sahaja kejayaan di Dunia bahkan kejayaan di Akhirat.
“Ini juga amat bertepatan dan bersesuaian dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Al Falah Pemacu Malaysia Madani’. Al Falah yang bermaksud kejayaan adalah merujuk kepada keberhasilan apa yang kita usahakan sama ada dalam bentuk kejayaan peribadi, organisasi , mahupun kejayaan negeri dan Negara.
“Ketamadunan dan kemodenan yang kita kecapi tidak akan bermakna jika sekiranya kita masih leka dan lalai dengan perkara-perkara yang sia-sia.
“Lebih-lebih lagi, perkara yang perlu dan wajib kita elakkan adalah perpecahan kesatuan antara kita. Moga Allah SWT menjauhkan kita daripada bala perpecahan,” katanya. – SABAH MEDIA
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis