Simpan minuman keras seludup di rumah kosong

KOTA KINABALU: Helah penyeludup yang menggunakan rumah kosong di Kampung Kionsom Lama, Inanam, di sini, sebagai tempat simpanan minuman keras tidak bercukai gagal, apabila diserbu Pasukan Polis Marin (PPM), awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, pelbagai jenis minuman keras bernilai hampir RM15,000 dirampas sepasukan PPM Kota Kinabalu menerusi Op Taring Landai.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslee Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan PPM Kota Kinabalu membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan kerana disyaki menjalankan kegiatan penyimpanan barangan tidak bercukai.

“Ketika serbuan, pintu pagar rumah berkenaan tidak berkunci, seterusnya pasukan operasi membuka dan masuk ke dalam rumah untuk pemeriksaan.

“Selepas menjalankan pemeriksaan menyeluruh, pasukan operasi menemukan longgokan pelbagai jenis minuman keras yang bertutup menggunakan kanvas disyaki minuman keras tidak bercukai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada individu di dalam rumah berkenaan ketika serbuan dan kemudian pasukan operasi merampas barangan berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM15,000 dan semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan minuman keras itu,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – Info X