Orang ramai dipelawa hadir meriahkan Pesta Buku Borneo 2024

Kota Kinabalu : Orang ramai dipelawa untuk hadir memeriahkan Pesta Buku Borneo 2024 (PBB 2024) yang akan diadakan selama lima hari bermula esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

PBB 2024 yang bermula jam 10 pagi itu bertemakan ‘Borneo Membaca’ yang menggambarkan kepentingan membaca dalam pembangunan ilmu dan pendidikan di Borneo.

Objektif utama pesta itu adalah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat Sabah dan meluaskan pasaran penerbitan di negeri ini.

Pesta yang dianjurkan Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS itu dijangka akan dikunjungi oleh beberapa buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang dan Papar.

Pesta buku terbesar di Borneo ini terdiri dari lebih 90 reruai pempamer penerbit buku komersial dan akademik antarabangsa dan tempatan, pempamer alat bantu mengajar dan produk inovasi.

Selain Penerbit UMS sendiri selaku penganjur dan pempamer, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, PTS Publishing, Popular Book, MAPIM, FIXI, The Patriot, Naseehat dan banyak lagi penerbit dan pengedar buku terkenal turut menyertai pesta buku ini.

PBB turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik khusus untuk semua lapisan masyarakat. Antaranya ialah bicara buku, forum buku, pelancaran buku, bengkel STEM, persembahan teater, pertandingan mewarna, cabutan bertuah, kuiz dan sebagainya. Para pengunjung juga berpeluang bertemu dengan penulis tempatan dan menebus baucar buku Madani di pesta buku ini.

Menurut pihak penganjur, pesta buku ini menyediakan platform terbaik bagi pembekal dan penerbit untuk memperkenalkan karya terbaru mereka kepada masyarakat, selaras dengan objektif untuk memartabatkan bahan bacaan ilmiah tempatan.

Masuk adalah percuma. Untuk maklumat terkini mengenai aktiviti dan acara sepanjang PBB 2024, orang ramai boleh merujuk ke laman Facebook rasmi Pesta Buku Borneo atau menghubungi Penerbit UMS untuk pertanyaan lanjut di talian 088-3204500. – SABAH MEDIA