KOTA KINABALU: Seorang paderi dan seorang peserta perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur, baru-baru ini, menjadi korban pertama berkaitan wabak Covid-19, di negara ini, hari ini.
Paderi terbabit yang berusia 60 tahun meninggal dunia di Kuching, Sarawak di Hospital Umum Sarawak manakala seorang lagi lelaki berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di Johor, hari ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Menurut Adham, lelaki berusia 60 tahun, yang merupakan kes ke-358, mempunyai sejarah penyakit kronik dan mula mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas pada 7 Mac lalu.
“Beliau mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac 2020 setelah dikesan positif Covid-19. Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.
“Beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Mac 2020,” katanya.
Dr Noor Hisham Abdullah dan Dr Adham Baba
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan lelaki itu merupakan paderi di sebuah gereja di Kuching, dan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada pukul 11 pagi tadi.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak masih dalam proses mengenal pasti sumber jangkitan terhadapnya.
“Sementara itu, 193 kontak rapat mendiang telah dikenal pasti dan sedang menjalani kuarantin di rumah,” kata JPBN Sarawak.
Sementara itu, Adham memaklumkan satu lagi kematian, iaitu melibatkan lelaki berusia 34 tahun yang merupakan kes ke-178, merupakan salah seorang peserta perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac.
“Dia mula mengalami gejala demam pada 5 Mac dan mendapat rawatan di Hospital Permai Johor Bahru pada 12 Mac, setelah dikesan positif Covid-19.
“Keadaannya merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Dia disahkan meninggal dunia pada 17 Mac 2020,” katanya.
Adham juga berkata, kematian lelaki itu tidak disebabkan faktor komorbiditi, iaitu penyakit-penyakit lain yang turut menjadi punca kematian.
“Komorbiditi bermaksud penyakit lain… Punca kematiannya ialah Covid-19. Tiada (penyakit lain),” katanya lagi./BERITA SABAH
Sumber Imej Kementerian Kesihatan Malaysia

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad