MESYUARAT KHAS BERKAITAN COVID-19, KM SABAH TIDAK DIJEMPUT?

KOTA KINABALU: Beberapa ketua negeri termasuk Sabah dilaporkan tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas bagi menyelaraskan perintah kawalan pergerakan antara negeri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di ibu negara, hari ini.

Menurut laporan Malaysiakini, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, mereka dimaklumkan bahawa jemputan untuk mesyuarat tersebut tidak dipanjangkan kepada menteri besar di Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan serta ketua menteri di Sabah dan Pulau Pinang.

“PH merakamkan rasa kesal di atas tindakan Putrajaya tidak menjemput menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri ini.

“Jika ianya kerana mereka mentadbir kerajaan-kerajaan negeri yang tidak sehaluan dari segi politik dengan kerajaan persekutuan yang ada sekarang, maka tindakan kepartian sempit ini amatlah merugikan rakyat,” kata kenyataan itu.

Muhyiddin sebentar tadi memuat naik beberapa keping gambar di Facebooknya tentang mesyuarat khas berkenaan.

Ia mendapat perhatian Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang meluahkan rasa duka cita kerana tidak dijemput, sedangkan katanya, Selangor merupakan negeri yang paling terkesan dengan wabak Covid-19.

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir turut membalas ciapan Amirudin:

“Kedah pun tak diajak. Agaknya tak ada Covid-19 di Kedah,” katanya./BERITA SABAH