PADU berjaya daftar lebih 30 juta rakyat Malaysia – Mohd Uzir

KUALA LUMPUR: Selepas 21 hari dilancarkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) berjaya mendaftarkan seramai 30,076,018 juta orang warganegara Malaysia dan permastautin.
Menurut Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, daripada jumlah ini 21,966,960 juta orang merupakan mereka yang berusia 18 tahun ke atas.
Mohd Uzir menjelaskan, Selangor mencatatkan jumlah paling tinggi dengan 5,863,817 juta orang diikuti Johor dengan 3,790,108 juta.

“Jadi apa yang ingin saya sampaikan disini, sebenarnya sistem PADU telah berjaya mendaftar sepenuhnya dalam maklumat-maklumat yang kita terima dari berbagai agensi.

“Ia akan menjadi asas kepada program-program pelaksanaan inisiatif baru kerajaan termasuk lah perlaksanaan rasionalisasi subsidi yang juga program yang akan diputuskan oleh kerajaan dalam masa ke semasa,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Mohd Uzir juga menjelaskan rakyat Malaysia turut diberi peluang untuk mengemas kini data bermula 2 Januari hingga 31 Mac.
“Data-data yang kita terima pada 2023, 2022, 2021 yang mana status, misalnya alamat, sudah berubah.
“Status dulu ada yang tidak berkahwin sekarang sudah berkahwin, dulu ada yang masih belajar sekarang sudah bekerja.
“Jadi itu sebab sistem ini membuka kepada orang ramai mulai 2 Januari hingga 31 Mac untuk mengemas kini maklumat yang telah didaftar masuk oleh sistem PADU itu,” katanya lagi.
Jelas beliau setakat ini sistem PADU telah menerima lebih 1.5 juta kemas kini oleh rakyat Malaysia.
Mohd Uzir berharap rakyat Malaysia untuk segera mendaftar dan mengemas kini maklumat ke dalam sistem PADU.