Warning: mysqli_query(): (HY000/1021): Disk full (/tmp/#sql_267f_1.MAI); waiting for someone to free some space... (errno: 28 "No space left on device") in /home/beritasabah/public_html/wp-includes/class-wpdb.php on line 2349
February 26, 2024

Warning: mysqli_query(): (HY000/1021): Disk full (/tmp/#sql_267f_1.MAI); waiting for someone to free some space... (errno: 28 "No space left on device") in /home/beritasabah/public_html/wp-includes/class-wpdb.php on line 2349

Pilihan raya kilat cadangan Dr M membazir, kata bekas pegawai SPR

PETALING JAYA: Seorang bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan gesaan Dr Mahathir Mohamad supaya Anwar Ibrahim mengadakan pilihan raya untuk menguji sokongan sebagai perdana menteri boleh menjurus kepada pembaziran.

Wan Ahmad Wan Omar menyifatkannya sebagai tidak bijak kerana perlu menanggung kos besar untuk mengadakan pilihan raya kilat, kurang dua tahun selepas PRU15 yang mengikut SPR menelan belanja RM725 juta.

Wan Ahmad Wan Omar.

Menurutnya, wang sebesar itu sepatutnya boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah banjir dan pembangunan, berbanding dibelanjakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Agak terkejut cadangan seperti ini dilontarkan bekas PM, Mahathir selaku negarawan yang tahu baik buruk mahupun kesan kepada negara jika adakan pilihan raya umum dalam tahun kedua penggal Parlimen.

“Dan semata-mata nak lepaskan kemarahan sehingga rakyat menjadi mangsa kewangan negara. Itu perkara tak betul. Keutamaan sewajarnya diberi kepada kestabilan negara dan kebajikan rakyat,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Mahathir ketika mencabar Anwar berbuat demikian berkata beliau memenangi lima PRU dengan majoriti dua pertiga, yang membuktikan sokongan rakyat terhadapnya sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Anwar dilantik perdana menteri ke-10 pada 24 Nov 2022, selepas mendapat sokongan majoriti dalam kerajaan perpaduan terdiri Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan parti lain.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berpandangan waktu yang munasabah untuk membubarkan Parlimen adalah pada tahun terakhir penggal pemerintahan di mana rakyat dapat menilai sebaiknya sesebuah pentadbiran.

“Terlalu awal dan tak adil untuk (buat kesimpulan). Beri peluang kepada kerajaan dan PM lakukan yang terbaik untuk negara bagi sekurang-kurangnya dua tahun lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris senada dengan Mahathir supaya pilihan raya diadakan untuk menguji sokongannya dalam kalangan rakyat.

“Anwar selalu guna perkataan ‘rakyat’, maka lebih baik kita serah balik kepada rakyat untuk mengadakan pilihan raya semula jika dia betul-betul rasa nak sokongan padu rakyat.

“Tak payah pakai akuan berkanun (SD), usul Parlimen dan sebagainya,” katanya merujuk desakan pembangkang membuat usul undi tidak percaya terhadap Anwar pada sidang Parlimen bermula 26 Feb hingga 27 Mac depan.