PAIP AIR HARAM DI SETINGGAN DIPOTONG

Oleh Wartawan BS

SANDAKAN: Jabatan Air Sandakan memotong penyambungan air tanpa meter yang dibuat secara haram di empat kawasan setinggan di sini, kelmarin.

Pemotongan itu dibuat menerusi operasi perobohan dan pemantauan yang dilaksanakan bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan beberapa agensi kerajaan di kawasan setinggan berhampiran Kampung Forest, Kampung Disayang, Lupak Meluas dan Kampung Bakau, Batu Sapi.

Jurutera Air Bahagian Sandakan, Ishar Hamka Ismail, berkata tindakan itu diambil susulan maklumat mengenai berlakunya kegiatan curi air berdekatan kawasan setinggan.

“Sebanyak 10 sambungan haram yang dikesan dibuat secara terus dari paip utama dan tindakan pemotongan dibuat dengan bantuan kontraktor.

“Kita juga merampas beberapa paip pelbagai saiz untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Ishar menegaskan, Jabatan Air memandang serius terhadap kegiatan curi air dan meminta pengguna mematuhi undang-undang sebagaimana dinyatakan dalam Enakmen Bekalan Air 2003 atau berdepan dengan denda yang berat jika didapati melakukan kesalahan.

Katanya, kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 49 (b) dan Seksyen 53 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sekiranya berlaku sebarang kes kecurian atau kebocoran paip air ke talian 1 300 8888 55.