BONGAWAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bekas Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan boleh mengemukakan saman sekiranya benar beliau berbohong mengenai peranan Pairin dalam satu mesyuarat yang mencadangkan pelaksanaan Pas Residen Sabah.
Katanya, pendedahan yang membuktikan Pairin telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan adalah berdasarkan fakta menerusi dokumen Minit Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Di Sabah pada 14 Mac 2016 di pejabat Jabatan Ketua Menteri, Wisma Innoprise.
“Apa yang dikatakan mereka tidak benar, saya hanya memetik apa yang terkandung dalam minit mesyuarat, dalam minit yang dipengerusikannya sendiri pada 2016, dia cakap semalam yang saya ini berbohong tidak ada minit.
“Kandungan minit itu cukup jelas bukan kita reka bukan kita cipta saya harap sungguh, janganlah gunakan media sosial dalam kempen-kempen kita sehingga kita nyatakan yang tidak benar, itu seakan-akan datang daripada mereka itu benar,” katanya ketika ditemui media di Bongawan, hari ini.
Semalam, Pairin dalam ceramahnya bagi pihak Barisan Nasional (BN) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis mendakwa Shafie berbohong berhubung kewujudan mesyuarat berkenaan.
“Ini cadangan pemerintah dulu, dahulu cadangkan residen, sehingga ini berlaku kita kata janganlah buat pas residen sebab bunyinya tanggapannya rakyat di negara ini seolah-olah penduduk tetap pulak, jadi kita katakan dia bersifat sementara ia pas sementara.
“Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) beratus ribu mudah palsukan dokumen itu kerana ia kertas, bila kita tangkap kita hantar dia datang balik, lepas tu dia guna dokumen lain pulak.
“Ini usaha yang telah dicadangkan, bukan semua cadangan yang dicadangkan pemerintah terdahulu kita tolak, mana yang baik kita ambik tambah baik,” tegasnya.
Dalam sidang akhbar itu, Mohd. Shafie turut buat pertama kali mendedahkan minit mesyuarat berkenaan di depan lensa kamera media bagi mengesahkan dakwaannya.
“Ini minitnya, ini minit mesyuarat siapa pengerusinya boleh kita tengok, kalau saya bohong ini faktanya.
“Pas residen tujuannya apa boleh gunakan, ini mereka yang buat dalam minit takkan saya reka takkan saya cipta jangan cakap saya tipu,” katanya.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius