JANGAN BIARKAN KEHARMONIAN POLITIK SABAH DIROSAKKAN – RAKAM

Oleh Nio James

KIMANIS: Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan)Tuaran, Rakam Sijim, menegaskan gaya politik perkauman dan provokasi tidak sesuai dengan semangat kekeluargaan yang diamalkan di Sabah.

Beliau berkata, hanya dengan satu pilihanraya kecil, keharmonian dalam politik Sabah yang diterapkan selama ini sudah ada percubaan untuk merosakkannya.

“Sebelum ini, politik Sabah tidak pernah membawa kepada kebencian kepada etnik lain, malah tidak sehingga membawa perbalahan di kalangan sesama keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di ceramah kelompok di Kampung Ulu Lumagar, di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bongawan Estate bersama calon Warisan Datuk, Karim Bujang.

Rakam turut menyeru pengundi Kimanis untuk menghantar isyarat jelas kepada Barisan Nasional (BN) bahawa Sabah perlu dikekalkan dengan cara Sabah.

Katanya, rakyat Sabah merupakan sebuah keluarga besar dengan pelbagai etnik dan fahaman yang berlainan.

“Realitinya, bila terlalu ramai jentera luar yang datang maka budaya dan fahaman luar akan cuba diterapkan di sini,” katanya.

Beliau berkata, berbanding Warisan yang menggunakan seratus peratus jentera tempatan, BN diketahui ramai dibantu oleh kebanyakan ahlinya yang datang daripada semenanjung Malaysia selain jentera tempatan.

“Malah ramai penceramah BN menampilkan pemimpin politik daripada Semenanjung,” katanya.

“Apakah kita mahu mewariskan politik fitnah dan kebencian hingga kepada generasi seterusnya?” tegas beliau.

Dalam pada itu, Rakam juga kesal kerana banyak perkara dan usaha baik kerajaan pimpinan Warisan sengaja diputar belit oleh Gabungan BN  dan PAS.

Malah katanya, terdapat juga percubaan provokasi yang mengandungi unsur politik kebencian berlaku pada pilihanraya kecil ini.

Sebelum itu Wirawati Tuaran ada membuat laporan polis berkaitan papan iklan fitnah bersifat provokasi yang dinaikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *