Paling last tahun 2002, sekarang masa paling ngam kaji gaji minimum penjawat awam: Cuepacs

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru Putrajaya supaya mengemas kini sistem penggajian penjawat awam yang sudah berjalan sejak 2002 bagi memastikannya kekal relevan.

Presidennya Adnan Mat berkata, sistem sedia ada masih berdasarkan keadaan ekonomi negara sejak 19 tahun lalu.

“Ia perlu dikaji semula setiap lima tahun sekali supaya relevan dengan situasi semasa ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, sambil menambah ia bersedia bekerjasama dengan kerajaaan bagi menetapkan kadar baharu.

Adnan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sempena Hari Pekerja bahawa gaji minimum bagi sektor swasta sedang dikaji untuk tujuan serupa.

Adnan Mat.

Muhyiddin berkata kajian semula penggajian itu adalah sebahagian daripada tiga strategi yang digariskan tahun lalu untuk menangani masalah pengangguran akibat pandemik Covid-19.

Adnan berkata, anggapan bahawa kos sara hidup akan meningkat jika gaji dinaikkan tidak boleh diterima. Ia adalah alasan golongan kapitalis untuk memperoleh lebih banyak keuntungan dengan mengorbankan pekerja.

“Sekiranya gaji tidak dinaikkan, kos sara hidup akan tetap naik sehingga menyebabkan rakyat terkesan.”

Bulan lalu, Adnan mencadangkan gaji minimum kakitangan awam dinaikkan kepada RM1,800 sebulan.

Katanya, jika Sistem Saraan Malaysia (SSM) menetapkan gaji permulaan sebanyak RM1,800, dan penjawat awam akan mendapat RM2,510, termasuk elaun yang disertakan, iaitu lebih tinggi sedikit daripada paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2021, sebanyak RM2,208.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *