Pameran LIMA’19 dibuka kepada orang ramai dalam suasana meriah

[ad_1]

LANGKAWI, 29 Mac (Bernama) — Orang ramai mula membanjiri Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bagi memeriahkan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di sini.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan sekitar mulai sesak sejak pagi dan keadaan itu dijangka berterusan petang ini dengan kemasukan di MIEC adalah percuma untuk pengunjung bawah umur 12 tahun, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan acara pertunjukan udara serta melawat gerai-gerai pameran pertahanan, maritim dan aeroangkasa dan melihat sendiri pertunjukan udara membabitkan 40 pesawat dari pelbagai negara.

Cuti sekolah dan cuti mingguan negeri Kedah yang jatuh pada Jumaat memberi peluang kepada orang ramai memenuhi segenap ruang di MIEC dalam keadaan penuh bersemangat sambil mengenakan pakaian LIMA’19 malah ada antara mereka bertatu kecil LIMA’19 di muka.

Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad Saibani, 33, yang datang bersama keluarganya, berkata dia tiba di Langkawi semalam menaiki feri dari jeti Kuala Kedah dan teruja untuk melihat sendiri kehebatan LIMA.

“Saya tidak akan melepaskan peluang untuk ke sini kerana ia adalah pameran yang wajib saya kunjungi walaupun ia diadakan dua tahun sekali. Ia amat menarik sekali, kerana dapat menyaksikan pertunjukkan udara dan laut oleh aset pertahanan negara bagi membuktikan kemampuan aset tentera kita,” katanya ketika ditemui Bernama.

Bagi R. Kuhilan, 22, yang hadir bersama tiga lagi rakannya sejak dua hari lepas menaiki kapal terbang dari Terengganu untuk berkunjung ke pameran LIMA’19 buat kali pertama.

“Saya datang pertama kali di LIMA’19 ini kerana ingin melihat aset tentera kita serta mengunjungi gerai-gerai pameran pertahanan untuk melihat senjata canggih.

“Sebelum ini, saya terlepas peluang mengunjungi pameran ini kerana gagal mendapat tiket penerbangan. Bagi saya LIMA’19 ini adalah platform terbaik untuk tentera negara mempamerkan aset negara ini kepada negara luar,” katanya.

Pekerja swasta, Bazliah Ashraf Bahrudin, 31, yang datang buat kali pertama ke pameran LIMA sanggup beratur bersama dua lagi rakannya seawal 7 pagi semata-mata mahu melihat pertunjukan udara.

“Saya tidak sangka orang telah mula beratur setibanya di sini. Persembahan udara tadi sangat menakjubkan,” katanya yang datang dari Subang Jaya, Selangor.

Pekerja sebuah syarikat penerbangan, Mohd Feizal Mohd Salleh, 44, yang datang buat kali kedua ke pameran LIMA pula berasa kecewa terhadap sistem kaunter pintu masuk yang dilihat masih kurang cekap mengawal kehadiran pengunjung yang ramai.

“Nampaknya kawalan masuk pengunjung oleh mereka (penganjur) masih kurang memuaskan,” katanya yang datang bersama empat orang anaknya dari Bangi, Selangor.

Kira-kira 42,000 pelawat perdagangan berhimpun di LIMA`19, bukan sahaja untuk melihat produk dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan peserta pameran tetapi juga meneroka potensi perniagaan terutamanya dengan syarikat berpangkalan di Malaysia.

Penganjur bersama LIMA’19 EN Projects (M) Sdn Bhd pula menyasarkan 200,000 pengunjung (orang awam) untuk melawat pameran pada hari ini dan esok di kedua-dua lokasi termasuk segmen maritim di Resorts World Langkawi, kira-kira 10km dari MIEC.

Selain syarikat tersebut, pameran dwitahunan ini juga dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan bertemakan,”Defence and Commercial Connecting Intelligence”.

LIMA’19 yang bermula pada Selasa lepas dan akan berakhir esok melibatkan sejumlah 406 syarikat – 206 tempatan dan 200 asing – yang kebanyakannya berkaitan pertahanan, mengambil bahagian dalam LIMA’19.

— BERNAMA

[ad_2]