PANDARAS SUMBANG 150 PAKEJ MAKANAN KEPADA GOLONGAN TERKESAN PKPB DI KEMABONG

TENOM: Persatuan Perpaduan Rumpun Etnik Sabah (Pandaras) menyumbangkan sebanyak 150 pakej makanan kepada golongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  pandemik Koronavirus (Covid-19) di Kemabong, di sini  baru-baru ini.

Presiden Pandaras, Jenuin Bungkak berkata, bantuan tersebut disasarkan kepada golongan ibu tunggal, warga emas dan golongan kurang upaya (OKU).

 “Sumbangan yang dinamakan sebagai Program Pandaras Prihatin (Bantuan Covid) Fasa 1 ini merupakan inisiatif untuk meringankan beban untuk mereka yang terkesan sepanjang PKPB.

“Walaupun tidak seberapa tapi kita harap agar ini akan serba sedikit dapat membantu mereka meneruskan kehidupan dengan bekalan makanan asas yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Jenuin berkata, pengagihan itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita menyedari akan peri pentingnya pematuhan SOP, justeru ia merupakan perkara yang amat dititikberatkan semasa penyerahan pakej makanan ini.

“Kita juga telah berkesempatan untuk menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di dua sekatan jalan raya PKPB di Bamban Tenom dan di Jalan Tenom-Keningau,” katanya sambil mengalu-alukan orang ramai untuk bersama-sama menjadi ahli Pandaras.

Hadir sama Timbalan Presiden Pandaras, Remzie Kisi serta Ahli Jawatankuasa Pelaksana Bantuan Prihatin. -https://beritasabah.com