PAS KEMUKA USUL UNDI PERCAYA TERHADAP MUHYIDDIN

KOTA KINABALU: Satu usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikemukakan PAS untuk dibentang serta dibahaskan dalam sidang parlimen yang akan bermula 13 Julai depan.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, usul berkenaan dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaaan terhadap Muhyiddin yang telah menunjukkan kepimpinan yang prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara pada Mac lalu.

“PAS yakin kepimpinan Perdana Menteri akan terus mendapat sokongan malah sanjungan dari rakyat jelata pelbagai kaum dengan perkhidmatan terbaik atas sokongan dan komitmen seluruh jentera kerajaan, sama ada peringkat Persekutuan mahupun sebahagian besar kerajaan-kerajaan Negeri.

“Segala pakej rangsangan ekonomi yang digerakkan oleh kerajaan pula telah disambut baik oleh semua sektor yang bergerak serentak ke arah pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Takiyuddin berkata, PAS amat yakin usul tersebut akan mendapat sokongan majoriti anggota parlimen apabila dibentangkan nanti.

“Dengan sokongan yang bakal diberikan sudah pasti akan terus mewujudkan kestabilan negara dan kemakmuran bersama semua rakyat,” katanya lagi.-http://beritasabah.com