KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Dr Yusof Yacob berkata, cadangan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Malaysia harus disambut baik rakyat Malaysia Timur.
Beliau berkata, sudah tiba masanya pemimpin Malaysia Timur diberi ruang kerana selama ini Sabah dan Sarawak sangat banyak membantu membangunkan negara dari hasil minyak serta gas.
“Sudah sampai masanya hasil Sabah dan Sarawak ditumpukan untuk membangun Sabah dan Sarawak yang ketara masih jauh ketinggalan berbanding Semenanjung.
“Rakan-rakan kita yang melawat Sabah dan yang tinggal di Sabah juga memahami keadaan kita di negeri ini serta keperluan membangun secara cepat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, cadangan berkenaan bukan sahaja dari Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi juga ramai pemimpin-pemimpin utama di Semenanjung Malaysia.
Katanya, pertama kali sejak merdeka dan pembentukan Malaysia pada 1963, seorang anak Malaysia Timur dicadangkan oleh orang Semenanjung yang berpengaruh, berpengalaman, bijak berpolitik dan merupakan pemimpin yang meletakkan Malaysia di pentas dunia mengusulkan cadangan berkenaan.
“Rasanya rakyat sudah bosan dengan kemelut politik Semenanjung dan Malaysia. Rakyat dan pemimpin memikirkan sudah sampai masanya orang Malaysia Timur menjadi Perdana Menteri demi hala tuju baharu negara.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran dan Inovasi berkata, Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah telah lama berkecimpung dalam politik negeri serta di peringkat nasional dengan memegang pelbagai jawatan penting dalam Kabinet sebagai Timbalan Menteri dan Menteri selain memegang jawatan penting dalam arena politik.
“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negara dengan jawatan Timbalan Menteri dan menjadi Menteri Persekutuan di beberapa Kementerian.
“Beliau juga berpengalaman di pentas politik antarabangsa, Shafie pernah menjadi Presiden Parlimen Commonwealth yang berpusat di London serta acara-acara politik seperti ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara lain,” katanya.-http://beritasabah.com
More Stories
Konvensyen UPKO untuk permerkasaan parti dan perjuangan rakyat: Ketua Penerangan
STAR, PBS dijangka tandatangani MoU Khamis ini
Saya masih Pengerusi PKR Sabah yang sah – Sangkar Rasam